Ekoran pertindahan cuti bagi perayaan Tahun Baru Cina (1 dan 2 Februari 2022) serta Hari Wilayah Persekutuan, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia memaklumkan bahawa semua majikan sektor swasta di Wilayah Persekutuan hendaklah memberi satu hari kelepasan tambahan kepada pekerja pada 3 Februari 2022.
Menurut hebahan dari Kementerian Sumber Manusia sebentar tadi, satu hari tambahan hari kelepasan am berbayar ini tertakluk kepada sektor swasta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Memandangkan kedua-dua hari kelepasan am ini bertindih pada tarikh 1 Februari 2022, maka tambahan satu hari lagi kelepasan am hendaklah diberikan oleh majikan kepada pekerja sebagaimana diperuntukkan di dalam proviso kepada seksyem 60D(1)(b)(ii) Akta Kerja 1955 (Akta 265),” jelas kenyataan tersebut.
Dalam akta berkenaan tercatat bahawa jika mana-mana hari kelepasan am yang dinyatakan dalam perenggan (a) dan (b) jatuh pada mana-mana hari kelepasan am dalam perenggan (a) dan (b), hari bekerja berikutnya selepas hari kelepsan am tersebut hendaklah dijadikan sebagai hari kelepasan am berbayar kepada hari kelepasan am yang pertama.
Namun begitu, majikan yang tidak menyenaraikan perayaan Tahun Baru Cina sebagai hari kelepasan am yang diambil hanya perlu memberikan hari kelepasan am berbayar bagi Hari Wilayah sahaja.
Untuk pengetahuan, Hari Wilayah Persekutuan ialah hari kelepasan am berbayar yang wajib diambil oleh majikan yang tempat pekerjaannya terletak di Wilayah Persekutuan seperti diperuntukkan di bawah seksyen 60D(1)(a)(iii) Akta Kerja 1955 (Akta 265).
Manakala Tahun Baru Cina pula wajib diambil jika dipilih dan disenaraikan oleh majikan sebagai hari kelepasan am di bawah seksyen 60D(1)(a) Akta Kerja 1955.
Sumber: Kementerian Sumber Manusia