Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kekal menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2027, dengan jumlah hampir RM69 bilion berbanding RM66.2 bilion pada tahun ini.
Kerajaan turut meningkatkan peruntukan bagi membaik pulih dan menyelenggara semua jenis sekolah kepada RM2 bilion, berbanding RM1 bilion sebelum ini.
Daripada jumlah itu, RM900 juta diperuntukkan kepada sekolah kebangsaan, RM100 juta kepada sekolah jenis kebangsaan Cina dan RM50 juta kepada sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).
Sementara itu, peruntukan bagi sekolah agama rakyat, institusi tahfiz dan sekolah pondok berdaftar di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) meningkat kepada RM200 juta, termasuk untuk bantuan operasi institusi.
Hampir RM1.3 bilion turut disediakan bagi menaik taraf 682 sekolah daif, khususnya di Sabah dan Sarawak.
3,500 Bilik Darjah Tambahan Dijangka Siap Akhir Tahun Ini
Hampir 500,000 murid dijangka memasuki Tahun Satu pada tahun hadapan, termasuk lebih 70,000 kanak-kanak berusia enam tahun.
Bagi menampung pertambahan murid, sebanyak 3,500 bilik darjah tambahan dijangka siap dibina menjelang akhir tahun ini menerusi kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS).
Kerajaan turut membina sekolah baharu, bangunan prasekolah dan menambah kemudahan di sekolah sedia ada, antaranya SK Seri Chemor di Ipoh, Perak; Kompleks Sekolah Bandar Serenia di Sepang, Selangor; serta penggantian penuh SJKT Ladang Pamol di Kluang, Johor.
Projek lain termasuk pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bandar Mahkota Cheras dan bangunan prasekolah di SK Bulu Silou, Keningau, Sabah.
Selain itu, sebuah kolej matrikulasi baharu sedang dibina di Marang, Terengganu.
Sumbangan Kepada Tabung Sekolah Layak Potongan Cukai
Dalam usaha menggalakkan penglibatan masyarakat membangunkan persekitaran sekolah yang lebih berkualiti, Tabung Sumbangan Wang Awam Sekolah akan ditambah baik.
Penambahbaikan itu membolehkan sumbangan sukarela daripada ibu bapa, alumni dan masyarakat digunakan untuk menampung operasi sekolah, membaiki kemudahan, membeli peralatan serta melaksanakan program murid.
Sumbangan tunai kepada tabung berkenaan juga layak mendapat potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat.

