Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

PUTRAJAYA, 16 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 14 perwakilan DAP negeri menyokong supaya parti itu terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan, bagi melunaskan janji pilihan raya serta memastikan kestabilan politik negara.
Sokongan itu disuarakan sewaktu perbahasan usul sama ada DAP kekal dalam Kerajaan Persekutuan hingga tamat tempoh penggal Parlimen semasa, pada Persidangan Kebangsaan DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Antara alasan utama yang diketengahkan perwakilan termasuk meneruskan mandat rakyat bagi melaksanakan reformasi institusi, memperkasakan usaha membanteras rasuah, mengurangkan kos sara hidup, memelihara hak masyarakat berbilang kaum, mengekalkan kestabilan dasar serta mengelakkan risiko Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan lebih awal.
Perwakilan Perak Jason Ng Thien Yong menegaskan DAP perlu terus kekal dalam kerajaan dan merencanakan langkah pembaharuan yang efektif, bagi meraih mandat rakyat pada PRU akan datang.
“Walaupun kita berdepan kekalahan dalam beberapa pilihan raya negeri sebelum ini, kita mesti membuat keputusan tepat untuk kekal. Kerajaan Perpaduan mungkin ada kelemahan dan atas sebab itulah perubahan perlu terus dilaksanakan dari dalam,” katanya.
Senada dengan pandangan itu, veteran DAP dari Pahang Leong Ngah Ngah menyeru perwakilan agar bersikap matang, memandangkan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah membuktikan pelbagai kejayaan dan membawa pembaharuan sepanjang tiga tahun lepas.
“Apabila berada dalam kerajaan, kita berupaya mendesak pelaksanaan reformasi yang telah dijanjikan. Keputusan yang dibuat perwakilan mestilah berlandaskan kematangan,” katanya.
Dalam pada itu, perwakilan Selangor Muhammad Shakir Amerr Mohideen turut menyatakan sokongan penuh DAP kekal dalam kerajaan dan yakin keupayaan parti itu untuk bangkit semula.
Beliau yakin amalan tadbir urus yang baik serta prestasi kerja DAP, mampu mengembalikan keyakinan pengundi di kawasan yang tewas sebelum ini.
Sementara itu, perwakilan Melaka Jason Tze-Xi Nathan berpendapat mengekalkan kedudukan DAP dalam kerajaan adalah langkah terbaik, berbanding terpaksa memberi penjelasan kepada rakyat sekiranya parti membuat keputusan sebaliknya.
Manakala perwakilan Sabah Yap Wui Lip pula menggesa agar parti kekal dalam kerajaan, sambil terus lantang bersuara menuntut pelaksanaan reformasi, termasuk hak-hak yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Selain itu, perwakilan lain yang turut menyokong DAP kekal dalam kerajaan ialah Azaha Abdul Rani (Kelantan), Ng Chai Hing (Terengganu), Soo Tien Ren (Sarawak), Lim Hooi Yee (Kedah), S Mugunthan (Negeri Sembilan), Wong Bor Yang (Johor), Sangeet Deo (Kuala Lumpur), Chew Chin Lee (Perlis) dan Daniel Gooi Zi Sen (Pulau Pinang).
Sementara itu, Setiausaha Agung Anthony Loke ketika sesi penggulungan perbahasan berkata pihaknya menerima baik kesemua cadangan dan teguran yang diberikan kesemua 14 wakil yang mewakili jawatankuasa negeri masing-masing.
“Sekiranya usul ini disokong dan dizahirkan melalui undi, kalau kita kekal dalam kerajaan, bukan bermakna satu ‘cek kosong’ kepada Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) mahupun kepada Perdana Menteri. Sudah tentu komitmen untuk membawa reformasi dan pembaharuan untuk mendapat semula keyakinan dan sokongan rakyat adalah prasyarat yang paling penting,” katanya.
Sebanyak 4,264 perwakilan daripada 1,704 cawangan yang layak, akan membuat keputusan mengenai usul itu menerusi kertas undi rahsia, selepas sesi perbahasan sebelum Loke akan membentangkan usul bagi menentukan sama ada parti itu akan terus kekal atau menarik diri daripada blok pentadbiran hingga tamat penggal Parlimen ke-16.
Persidangan tahun ini turut diadakan bersempena dengan ulang tahun ke-60 penubuhan DAP, yang merupakan satu daripada tiga parti komponen utama Pakatan Harapan (PH) selain PKR dan Amanah.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan