KANGAR, 30 Dis (Bernama) – Seorang pesakit lelaki warga emas berumur 69 tahun maut selepas jatuh dari wad di tingkat empat Blok A Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, kira-kira pukul 12.25 tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Wari Kiew ketika dihubungi berkata polis menerima panggilan kecemasan daripada pihak hospital mengenai kejadian itu pada pukul 12.45 tengah malam, dan ia diklasifikasikan sebagai kes laporan mati mengejut.
Menurutnya polis masih menyiasat bagaimana kejadian itu boleh berlaku.
Sementara itu Pengarah HTF, Dr. Othman Warijo berkata pesakit itu telah dimasukkan ke wad melalui Jabatan Kecemasan pada Selasa lepas kerana mengadu sakit kepala dan muntah.
“Pesakit itu mengalami pendarahan akut di serebelum (acute cerebellar hemorrhage) berpunca dari tekanan darah tinggi,” katanya dan sepanjang masa di wad, pesakit itu ditemani oleh anaknya.
— BERNAMA