Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Peserta Malaysia 'Pertaruh' Roti Canai Di MasterChef US
Bagi rakyat Malaysia, roti canai mungkin dianggap makanan biasa yang mudah ditemui di mana-mana kedai mamak atau restoran tempatan.
Harganya berpatutan, rasanya digemari ramai dan hampir setiap pagi pasti ada yang menikmatinya bersama kuah kari atau dhal.
Tapi siapa sangka, makanan yang dianggap biasa ini berjaya mencuri perhatian dalam pertandingan memasak bertaraf dunia?
Baru-baru ini, hidangan ikonik Malaysia itu menjadi perhatian ramai apabila dibawakan dalam program realiti terkenal, MasterChef US Musim Ke-16: Global Gauntlet.
Lebih membanggakan, hidangan roti canai itu disajikan oleh peserta berdarah Malaysia, Jaime, yang dilahirkan dan dibesarkan di Queens, New York.
Walaupun membesar di Amerika Syarikat, dia tidak pernah melupakan akar umbinya dan memilih untuk memperkenalkan cita rasa Malaysia kepada dunia menerusi pertandingan berprestij itu.
Ketika peserta lain memilih menu yang lebih ringkas, Jaime membuat keputusan yang dianggap cukup berani.
Dalam tempoh hanya satu jam, Jamie berjaya menyediakan satu set hidangan lengkap yang terdiri daripada roti canai, kari, nasi lemak dan jelatah timun dan nanas.
Mana tidaknya, ramai percaya kari yang betul-betul sedap bukan boleh siap dalam masa singkat. Lagi lama dimasak, lagi pekat kuahnya, lagi naik aromanya dan lagi sebati rempahnya sehingga pecah minyak.
Pada masa sama, roti canai juga bukan makanan yang mudah disediakan. Doh perlu diuli, direhatkan dan dibentuk dengan teliti untuk mendapatkan lapisan yang rangup serta tekstur yang sempurna.
"Saya sebenarnya takut untuk menyediakan hidangan ini kerana biasanya ia mengambil masa lebih lapan jam untuk disiapkan," katanya.
Dengan kedua-duanya memerlukan perhatian serta masa yang cukup, cabaran itu pastinya bukan sesuatu yang mudah.
Bukan sekadar mahu menang pertandingan, Jamie mengakui hidangan itu mempunyai nilai sentimental yang sangat besar buat dirinya.
Menurutnya, hidangan tersebut membawa kembali kenangan bersama bapanya yang sering menyediakan hidangan itu sebelum keluar bekerja.
Siapa sangka, usaha Jaime membuahkan hasil apabila tiba sesi penjurian.
Cef terkenal dunia, Gordon Ramsay, yang sering dikenali dengan kritikan tajamnya, nyata terkejut dengan kualiti hidangan yang berjaya dihasilkan.
Malah, Ramsay menyifatkan kari tersebut seolah-olah dimasak selama berjam-jam walaupun sebenarnya disediakan dalam tempoh singkat.
"Karinya sangat lazat. Ia harum, hangat, sedikit masam. Rasanya seperti anda telah memasaknya selama enam jam. Syabas," puji Ramsay.
Selain kari, jelatah timun dan nanas yang dipadankan bersama daun pudina turut mendapat pujian.
Menurut juri, gabungan nanas dan pudina memberikan rasa segar yang melengkapkan keseluruhan hidangan.
Akhirnya, Jamie tidak dapat menyembunyikan rasa gembira apabila hidangannya diumumkan sebagai hidangan terbaik malam tersebut.