Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

PGA8 Rampas Cecair Vape Bernilai RM422,000 Di Rantau Panjang

Gambar sekadar hiasan

KOTA BHARU, 28 Feb (Bernama) — Pasukan Gerakan Am (PGA) Kelantan merampas 20 kotak cecair vape bernilai RM422,000 yang ditemukan di dalam semak di tebing Sungai Golok berdekatan pangkalan haram Rambutan di Rantau Panjang, Pasir Mas semalam.

Iklan

Pegawai Pemerintah Batalion Ke-8 PGA Supt Muhammad Shamsuddin berkata pihaknya percaya bahan berkenaan disorokkan di situ oleh penyeludup sebelum dibawa keluar ke negara jiran.

“Penemuan itu dibuat oleh sepasukan anggota rondaan bermotosikal pada 7 malam yang memeriksa bungkusan kotak mencurigakan di kawasan tersebut. Pemeriksaan menemukan lebih 3,000 botol cecair vape pelbagai warna dan perisa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua rampasan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952.

Sementara itu, Muhammad berkata pihaknya turut merampas sembilan botol air ketum dan 3,200 batang rokok jenama ‘Saat’ yang disembunyikan di dalam sebuah kereta di Kampung Kepulau dekat Palekbang, Tumpat, 1 pagi tadi.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 40-an yang mengaku pemilik kenderaan tersebut ditahan dan kesemua rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

— BERNAMA