Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

PKR Kedah Persoal Sanusi Jadikan Anwar Sasaran Dalam Isu Lesen Premis Judi

SANUSI
Kredit: Bernama

Pengarah Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Tunku Nashrul Abaidah mengecam kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa menghamburkan makian terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu lesen premis perjudian di negeri itu.

Menurutnya, Muhammad Sanusi perlu bertanggungjawab terhadap keputusan pentadbiran negeri yang diterajuinya sehingga membawa kepada tindakan undang-undang dan akhirnya dibatalkan oleh mahkamah.

Beliau berkata, permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan berkenaan juga telah ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.

“Malaysia mengamalkan pemisahan kuasa antara tiga cabang utama, yakni badan perundangan, eksekutif dan kehakiman.

“Kes ini berpunca daripada keputusan pentadbiran Sanusi, dicabar oleh pihak pengendali dan diputuskan secara bebas oleh badan kehakiman. Perdana Menteri tidak terlibat dalam menentukan keputusan mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tunku Nashrul turut mempersoalkan tindakan Muhammad Sanusi yang didakwa menjadikan Anwar sebagai sasaran, sedangkan isu berkenaan menurutnya berpunca daripada keputusan pentadbiran kerajaan negeri sendiri.

Pada masa sama, beliau turut mendakwa terdapat percanggahan dalam pendirian PAS berhubung isu perjudian, khususnya berkaitan cabutan khas.

Menurutnya, ketika PAS berada dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN), pentadbiran yang disertai parti itu telah meningkatkan kekerapan cabutan khas judi daripada lapan kepada 22 kali setahun.

“Sebaliknya, Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang dihamun oleh Sanusi itulah yang menurunkannya kembali kepada lapan kali setahun,” ujarnya.

Jelasnya, Muhammad Sanusi tidak seharusnya mengalihkan perhatian dengan menyalahkan Perdana Menteri terhadap keputusan yang menurutnya berpunca daripada pentadbiran negeri sendiri.

“Tindakan paling celaka adalah mengelirukan rakyat, memaki Datuk Seri Anwar dan mengheret pihak yang tiada kena-mengena semata-mata untuk menutup kelemahan sendiri.

“Sanusi, usah alih tiang gol, sila jawab kekalahan pentadbiran sendiri secara berfakta dan berhenti menjadikan Perdana Menteri sebagai sasaran,” katanya.

Intipati
  • PKR Kedah mengecam Sanusi yang didakwa memaki Anwar berhubung isu lesen premis perjudian.
  • Tunku Nashrul berkata keputusan pentadbiran Kedah dicabar pengendali dan dibatalkan mahkamah secara bebas.
  • Beliau mendakwa PAS bercanggah pendirian kerana cabutan khas meningkat ketika Kerajaan Perikatan Nasional.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan