KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 3.30 petang ini.
Pembentangan ini merupakan belanjawan kelima Kerajaan MADANI pimpinan beliau, berpaksikan tekad jelas memastikan pertumbuhan bernilai tinggi diterjemahkan secara saksama demi kesejahteraan rakyat selain memperkukuh daya tahan ekonomi negara.
Pembentangan Belanjawan 2027 akan disiarkan secara langsung menerusi pelbagai stesen televisyen tempatan dan platform media sosial, termasuk Bernama TV yang turut menyiarkan kupasan Analisis Belanjawan 2027 pada 8.30 malam ini.
Menurut kenyataan prabelanjawan menerusi laman web Kementerian Kewangan, Belanjawan 2027 dirangka bagi meneruskan kesinambungan asas kukuh yang dibina menerusi siri belanjawan terdahulu.
Selaku belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), belanjawan ini kekal menelusuri tiga tonggak Ekonomi MADANI iaitu menaikkan siling pertumbuhan, menaikkan lantai taraf hidup rakyat serta memacu pembaharuan tatakelola pentadbiran negara.
Kementerian Kewangan memaklumkan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan hasil pelaksanaan reformasi struktur yang berani termasuk konsolidasi fiskal dan penyasaran subsidi, meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik dunia serta gangguan rantaian bekalan antarabangsa.
Bagi Belanjawan 2027, kementerian menggariskan 10 fokus utama merangkumi usaha merapatkan jurang wilayah, menangani kos sara hidup menerusi bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan BUDI MADANI, serta memperkukuh jaringan keselamatan sosial pekerja gig dan persediaan menuju status negara menua menjelang 2030.
Tumpuan turut diberikan kepada perkhidmatan asas termasuk pendidikan dan kesihatan, transformasi sektor awam berpaksikan teknologi kerajaan (GovTech), kebajikan pekerja melalui gaji bermaruah, pemerkasaan usahawan tempatan berteraskan “Made by Malaysia” serta pelaburan bernilai tinggi seperti semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).
Menerusi hantaran di laman X semalam, Anwar menzahirkan harapan agar Belanjawan 2027 berupaya terus memperkukuh daya tahan ekonomi negara, meringankan beban kos sara hidup, membolehkan lebih banyak peluang dicipta serta memastikan manfaat pembangunan dirasai secara lebih adil oleh segenap lapisan masyarakat.
Berdasarkan takwim di portal rasmi Parlimen, Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 akan dibahaskan di peringkat dasar selama lapan hari bermula minggu hadapan.
Sesi penggulungan oleh kementerian berkaitan dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 29 Okt, disusuli perbahasan di peringkat jawatankuasa bermula 2 hingga 26 Nov sebelum diluluskan di Dewan Rakyat.

