Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

PM Anwar Beri Penghargaan Khas Kepada 7 Pemuda Penyelamat Mangsa Kereta Terjunam

Sofea
PM Anwar Beri Penghargaan Khas
Kredit: Anwar Ibrahim

PM Anwar Beri Penghargaan Khas Kepada 7 Pemuda Penyelamat Mangsa Kereta Terjunam

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyampaikan saguhati sebagai tanda penghargaan kepada tujuh pemuda yang menyelamatkan seorang ibu bersama dua anak kecil di Tasik Biru, Kundang.

Anwar dalam satu kenyataan di media sosial miliknya berkata penghargaan itu disampaikan ketika majlis berbuka puasa di Kompleks Seri Perdana pada Jumaat.

Beliau turut memuji tindakan tujuh pemuda itu yang pantas dan berani menyelamatkan kesemua mangsa.

"Saya telah mengundang tujuh pemuda yang bertindak pantas dan penuh keberanian menyelamatkan seorang ibu bersama dua anak kecil dalam nahas di Kundang baru-baru ini untuk berbuka puasa di Kompleks Seri Perdana hari ini.

"Tindakan mereka yang tanpa ragu mempertaruhkan keselamatan diri demi menyelamatkan nyawa insan lain adalah cerminan nilai kemanusiaan yang luhur serta semangat ihsan yang amat tinggi.

"Keberanian dan keprihatinan sebegini wajar dihargai serta dijadikan teladan oleh seluruh masyarakat," katanya.

Ujarnya lagi penghargaan yang diberikan itu juga sebagai tanda penghargaan atas jasa dan keberanian mereka.

"Sesungguhnya, tujuh pemuda ini bukan sahaja wira kepada keluarga yang diselamatkan, malah lambang kemuliaan akhlak, keinsanan dan semangat solidariti rakyat Malaysia yang sentiasa bersedia membantu tanpa mengira latar belakang," katanya lagi.

Dalam kejadian Isnin lalu, keberanian tujuh pemuda itu yang bertindak terjun ke dalam tasik telah menyelamatkan seorang wanita bersama dua anaknya selepas kenderaan dinaiki mereka terjunam ke dalam tasik berkenaan, lapor Bernama.

Mereka ialah Mohd Shahrizal Jarami, 40; Mohamad Fahmi Ismail, 33; Hariz Ismat Ruzaiizan, 26; Mohamad Zulfadhli Mohd Nasir, 23; Muhammad Aiman Hakimi Mohd Rosnizam, 23; Muhammad Nor Haiqal Abd Karim, 23; dan Adam Syah Reza Hendri, 19.

Wanita berusia lingkungan 40-an bersama dengan dua anak perempuannya yang masing-masing berusia tiga dan enam tahun itu kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.