BANGI, 21 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah mengutus surat rasmi kepada Presiden Indonesia Prabowo Subianto bagi memohon perhatian khusus terhadap pelaburan FELDA di negara berkenaan, khususnya membabitkan isu syarikat PT Eagle High Plantations Tbk (EHP).
Beliau berkata langkah itu diambil berikutan potensi kerugian kewangan berskala besar bernilai RM2.5 bilion yang kini terpaksa ditanggung akibat keputusan pengurusan lepas yang pulangannya dijangka diperoleh kelak berkemungkinan hanya kira-kira RM200 juta.
“Pelaburan ini (EHP) yang tersangkut di mahkamah di Indonesia. Saya telah menulis surat kepada Presiden Prabowo Subianto meminta beliau melihat juga masalah ini. Kemudian kalau tidak ditangani, RM2.5 bilion ini yang mungkin yang kita peroleh nanti RM200 juta. Ini satu contoh,” kata beliau.
Menurut laporan berita, wang tersebut masih belum dapat diperoleh semula oleh Felda memandangkan pulangan itu masih dicabar oleh pihak syarikat EHP di mahkamah di Indonesia.
Anwar berkata demikian pada Sesi Ramah Mesra Bersama Pengurusan Tertinggi dan Pengurus FELDA di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi FELDA Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir dan Pengarah Besar Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman.
Anwar berkata pendedahan tentang angka krisis kewangan tersebut dibuat supaya seluruh barisan pengurusan FELDA pada peringkat akar umbi menyedari hakikat beratnya cabaran yang terpaksa ditanggung agensi itu untuk kembali pulih.
“Saya mahu pengurus tahu, dan betapa beratnya untuk pulih … bukan masalah pengurus. Pengurus FELDA di Pahang, di Johor, apa kena-mengena (dengan pelaburan ini)? Tetapi (masalah ini) ditanggung oleh kita, itu masalahnya, jadi (semua) harus tahu.
“Yang soal siasatan penguatkuasaan mahkamah, itu urusan lain. Tetapi saya mahu semua masalah ini, saya juga beritahu Suzana (Idayu Wati), (bahawa) saya mahu pengurus itu faham,” kata beliau.
Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri mahu semua pihak di segenap peringkat pengurusan agar memahami permasalahan sebenar yang melanda agensi tersebut dan tidak terpengaruh dengan sebarang naratif atau propaganda yang cuba memperkecil isu tatakelola berkenaan.
“Saya berulang kali sebut bahawa masalah ini kita tanggung … perkara yang perlu saya tekankan ialah, saya mahu pengurus FELDA keseluruhannya benar-benar menghadam permasalahan. Bukannya bermaksud untuk kadang-kadang rasa lelah atau letih, tetapi tahu bahawa masalah ini mesti dan wajib ditangani,” katanya.
Mengulas lanjut tentang usaha pemulihan menyeluruh, Anwar memberikan jaminan bahawa kerajaan komited mempercepat pelaksanaan projek kebajikan asas, termasuk peruntukan pembaikan perumahan pengurus dan peneroka tanpa perlu menangguhkannya sehingga belanjawan tahun depan.
Beliau turut menegaskan penekanan terhadap prinsip tatakelola, integriti dan kebertanggungjawaban bukan bertujuan mencari kesalahan pihak tertentu, sebaliknya demi menyelamatkan amanah rakyat serta memastikan FELDA kembali gilang-gemilang sebagai institusi kebanggaan negara.

