Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang meninggalkan Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membincangkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH), pagi ini.
Anwar berkata, persoalan utama yang seharusnya diberi perhatian ialah dakwaan mengenai pengkhianatan terhadap kepentingan pendeposit Tabung Haji, khususnya umat Islam yang bergantung kepada institusi itu bagi mengurus simpanan untuk menunaikan ibadah haji.
“Nak ambil tahu tentang saya, atau nak ambil tahu tentang pengkhianatan terhadap Tabung Haji?” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, umat Islam khususnya orang Melayu tidak seharusnya menjadi mangsa permainan politik ketika isu berkaitan kepentingan serta amanah Tabung Haji masih menjadi perhatian.
“Orang Melayu Islam telah dikhianati, tapi masih ada yang mahu main drama politik? Apatah lagi datang daripada pihak yang melaung-laungkan tentang Melayu Islam,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut mempersoalkan pendirian Perikatan Nasional (PN), khususnya PAS sebagai antara parti teras gabungan berkenaan, dalam memperjuangkan kepentingan golongan berpendapatan rendah serta mereka yang bergantung kepada Tabung Haji.
“Apakah PN yang ditunjangi PAS tidak pentingkan kepentingan orang susah, nelayan, petani, guru, polis, tentera, pesara yang mengerah keringat untuk menyimpan wang dalam Tabung Haji untuk menunaikan Rukun Islam kelima?” soalnya.
Beliau berkata, isu Tabung Haji sewajarnya dibahaskan secara serius dan berfokus bagi memastikan kepentingan serta hak pendeposit terus dilindungi tanpa dipengaruhi kepentingan politik kepartian.
Katanya, semua pihak perlu meletakkan kepentingan pendeposit serta masa depan institusi Tabung Haji sebagai keutamaan, khususnya dalam memastikan amanah yang diberikan umat Islam terus dipelihara.