Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menyantuni penduduk setempat dan peniaga di KL Night Street, Sri Rampai, di sini malam tadi.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, beliau sempat singgah di lokasi berkenaan sebelum pulang ke kediamannya selepas tiba di Kuala Lumpur.
Menurutnya, kunjungan itu memberi peluang kepadanya bertemu orang ramai termasuk kanak-kanak dan golongan muda, selain mendengar sendiri pandangan serta aduan daripada para peniaga.
“Saya juga mendengar sendiri pandangan serta aduan daripada para peniaga.
“Insya-Allah, saya ambil maklum dan akan teliti apa yang boleh dilakukan untuk menambah baik kemudahan serta keadaan mereka berniaga,” katanya.
Dalam kunjungan itu, Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada penggiat muzik jalanan atau busker yang menghiburkan beliau menerusi persembahan lagu Azizah.
Beliau berkata, pertemuan secara langsung bersama masyarakat dan peniaga memberi ruang untuk mendengar sendiri isu serta keperluan mereka di lapangan.

