Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan agenda Diplomasi MADANI menerusi lawatan kerja selama tiga hari ke Shanghai dan Hangzhou, China, bermula hari ini atas jemputan Premier China, Li Qiang.
Lawatan berkenaan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan Malaysia-China, termasuk kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan digital dan pembangunan bakat teknikal.
Menurut Anwar, beliau dijadual mengadakan pertemuan dua hala bersama kepimpinan China selain bertemu wakil syarikat-syarikat terkemuka bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti dan berimpak tinggi ke Malaysia.
“Selain mesyuarat dua hala, pertemuan bersama wakil syarikat-syarikat terkemuka bakal diadakan demi menarik pelaburan berkualiti dan berimpak tinggi ke Malaysia,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Dalam kunjungan ke Shanghai, Perdana Menteri turut dijadual menghadiri WorldSkills Competition Shanghai 2026 bagi memberikan sokongan kepada 22 peserta Malaysia yang menyertai pertandingan kemahiran berkenaan.
Sementara itu, Anwar akan meneruskan lawatan ke Hangzhou bagi menghadiri Ekspo Perdagangan Digital Global (GDTE), selain dijadual mengadakan pertemuan dua hala bersama Li Qiang.
Menurut Anwar, penyertaan Malaysia dalam ekspo berkenaan turut mencerminkan kepentingan memperkukuh kerjasama dalam sektor perdagangan dan ekonomi digital antara kedua-dua negara.
Lawatan itu juga dijangka membuka ruang kepada Malaysia dan China untuk meneroka kerjasama dalam bidang baharu termasuk pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), ekonomi digital serta kecerdasan buatan (AI).
“Moga lawatan kerja selama tiga hari ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan membuahkan hasil yang positif buat kedua-dua negara, insya-Allah,” katanya.

