Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan gabungan politik itu berada pada landasan yang benar dalam mempertahankan haknya menerusi saluran undang undang.
Menurutnya, usaha pihak yang mahu memadamkan PN tidak akan mematahkan tekad gabungan itu, sebaliknya perjuangan akan diteruskan.
Beliau berkata demikian susulan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang menggantung notis Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung pembatalan pendaftaran PN.
“Alhamdulillah, kita bersyukur atas keputusan Mahkamah Tinggi hari ini menggantung notis ROS berhubung pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional.
“Terima kasih kepada semua atas doa, sokongan dan kesabaran, serta pasukan peguam atas usaha gigih mereka.
“Kita terus menghormati proses undang undang yang berjalan dan akan mempertahankan hak kita dengan tegas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata seluruh jentera PN perlu memberikan tumpuan penuh kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka susulan keputusan berkenaan.
“Perkukuh persiapan, eratkan kerjasama dan bawa tawaran terbaik untuk rakyat. Kita terus mara,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi hari ini menggantung keputusan RoS yang membatalkan pendaftaran PN dua hari lalu.
Keputusan itu sekali gus membolehkan gabungan berkenaan bertanding dan menggerakkan kempen pilihan raya sementara proses undang undang berkaitan diteruskan.

