Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Polis Johor Terima Bantuan Polis Singapura, Kesan Dua Suspek Dalam Insiden Tular Di Linkedua

Iqbal Yasir
polis johor terima bantuan polis singapura
Gambar: AWANI

ISKANDAR PUTERI – Polis Johor terima bantuan daripada Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam menjejaki kes khianat yang berlaku berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Kompleks Sultan Abu Bakar pada Sabtu lalu, lapor AWANI.

Identiti kedua-dua suspek sudah dikenal pasti yang merupakan seorang lelaki dan wanita warga Singapura, menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Rahmat Ariffin.

Tambahnya lagi, pihak polis mengesyaki kedua-dua supek kini bersembunyi di republik tersebut.

Ketika dihubungi pada hari ini, beliau berkata,”Kita sedang berurusan dengan pihak SPF untuk kesan suspek terbabit.

“Polis juga telah menerima laporan daripada mangsa yang merupakan warga Singapura,” jelasnya.

Terdahulu, insiden terbabit tular di media sosial selepas sebuah klip video yang berdurasi dua minit enam saat itu dimuat naik.

Dalam video itu, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) telah ditahan daripada bergerak oleh seorang wanita yang berdiri di hadapannya di Linkedua yang menghubungkan Malaysia dan Singapura.

Berdasarkan video itu, plat nombor kenderaan itu turut dicabut dan dibaling oleh wanita berkenaan.

Wanita itu juga dilihat cuba menghalang MPV terbabit dengan berdiri di hadapan kenderaan berkenaan dalam satu rakaman yang berbeza.

Manakala, seorang lelaki yang menggunakan kereta berwarna merah dengan nombor pendaftaran Singapura muncul dan mempamerkan isyarat lucah terhadap pemandu MPV tersebut selepas wanita tadi beredar.

Menurut Rahmat, kenderaan mangsa telah bergesel dengan kenderaan yang dipandu oleh dua suspek itu dalam satu kejadian khianat.

Dipercayai, pemilik MPV terbabit cuba mengubah arah laluan ke kanan namun bersentuhan dengan kenderaan milik kedua-dua suspek yang dari arah kanan, maklum Rahmat.

Sumber: AWANI