BUKIT MERTAJAM, (Bernama) -- Polis sedang mengesan penunggang motosikal yang dipercayai melanggar dua murid perempuan ketika mereka melintas jalan di hadapan sebuah sekolah rendah di Permatang Pauh di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata pihaknya mengesan video berdurasi kira-kira 30 saat mengenai kejadian itu yang tular menerusi media sosial dan siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira 7.20 pagi.
“Kejadian berlaku ketika murid berusia lapan dan sembilan tahun itu sedang melintas di lintasan pejalan kaki di hadapan sekolah mereka.
“Kedua-duanya mengalami kecederaan ringan dan telah mendapatkan rawatan susulan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata polis sedang mengenal pasti identiti penunggang motosikal itu dan mendapatkan gambaran sebenar kejadian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Insp Hafizi Mansor melalui talian 017-566 0103 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


