Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Polis Mohon Bantuan Orang Ramai Kesan Remaja Hilang Sejak April 2022

Nurhanis
remaja hilang
Kredit: BERNAMA

Polis Mohon Bantuan Orang Ramai Kesan Remaja Hilang Sejak April 2022

IPOH, 16 Jan (Bernama)Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang di Taman Perpaduan di sini sejak April tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata remaja itu dikenali sebagai Muhammad Fahrin Hakimi Ismail yang beralamat di No 14, Tingkat Perpaduan 18, Taman Perpaduan dekat sini.

Laporan kehilangannya dibuat oleh bapa saudaranya di Balai Polis Tambun pada 8 Sept 2022 iaitu kira-kira lima bulan selepas remaja tersebut dikatakan kali terakhir dilihat di rumahnya.

“Remaja berkenaan merupakan anak saudara kepada arwah isteri pengadu yang tinggal bersamanya selepas kematian ibu dan bapanya sejak berumur 15 tahun,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Yahaya berkata mangsa keluar tanpa memaklumkan kepada ahli keluarga sejak 2 April lepas dan pengadu telah mencari mangsa di merata tempat dan bertanya kepada kawan-kawannya tetapi masih tidak dijumpai sehingga hari ini.

Orang ramai diminta menghubungi Sarjan Muhamad Tarkey Burhanuddin di talian 0175310918 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 052451500 jika mempunyai maklumat lanjut.

Remaja hilang tular di WhatsApp

Imbas kembali laporan Bernama sebelum ini, turut pernah berlaku satu kejadian serupa mengenai seorang remaja perempuan hilang seperti yang tular dalam aplikasi WhatsApp.

Bernama melaporkan pada 26 Disember tahun lalu, polis mengesahkan kehilangan seorang remaja perempuan dari Taman Salak Maju, Sepang yang ditularkan menerusi aplikasi Whatsapp.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata laporan kehilangan Salsabila Putri Mad Nasir, 13, dibuat oleh abang remaja itu Mohammad Fitra Mad Nasir, di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, kira-kira pukul 10 pagi semalamnya.

“Menurut laporan yang dibuat abangnya, kehilangan Salsabila Putri disedari pada pukul 2.30 pagi semalam (25 Dis).

“Kes ini masih dalam siasatan pihak polis dan diklasifikasikan sebagai Orang Hilang,” katanya dalam kenyataan ketika itu.

Wan Kamarul Azran berkata menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan homestay itu mendapati, Salsabila Putri telah keluar rumah dengan berpakaian serba hitam dan berjumpa dengan seorang lelaki, yang telah membawa remaja itu keluar daripada kawasan perumahan tersebut.

Sumber: BERNAMA

BACA: Polis Siasat Anggota Benar Orang Awam Pegang Senjata Api