Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

ALOR SETAR, 20 Julai (Bernama) -- Polis menahan semula aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak sejurus tempoh reman dua hari terhadapnya tamat hari ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Khairul Azhar Nuruddin berkata Tamin Dahri, 33, ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi berhubung satu kes, yang disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
"Sejurus tamat tempoh reman, suspek ditangkap semula berhubung laporan polis Kuah yang disiasat mengikut seksyen tersebut, dan suspek akan didakwa ke Mahkamah Majistret Langkawi esok untuk pertuduhan.
"Suspek sebelum ini ditahan pada 18 Julai di IPD Port Dickson bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, sebelum direman selama dua hari bermula 19 hingga 20 Julai," katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Tamim Dahri yang didakwa melarikan diri ke luar negara berhubung kes ugutan menerusi Facebook akhirnya menyerah diri di IPD Port Dickson Sabtu lepas.
Siasatan terhadap aktivis itu bermula selepas polis menerima satu laporan daripada seorang lelaki berketurunan India pada 10 Mac lepas yang mendakwa telah diugut oleh suspek menerusi Facebook.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad dilaporkan berkata siasatan lanjut mendapati, suspek berada di Thailand selama lebih empat bulan sebelum kembali ke negara ini melalui laluan tidak sah di sempadan Kelantan.
Beliau berkata sebaik tiba di Malaysia, suspek telah tampil menyerah diri di IPD Port Dickson bagi membantu siasatan.