Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

'Potong' Banyak Negara Maju, Malaysia Negara Ketiga Terbaik Dunia Untuk Didiami Pada 2026

Malaysia Negara
Kredit: Bernama

Siapa sangka, Malaysia bukan sahaja antara negara yang menjadi pilihan pelancong, malah turut disenaraikan sebagai antara tempat terbaik untuk didiami di dunia.

Berdasarkan Rumavi Global Relocation Index 2026, Malaysia berada di kedudukan ketiga terbaik dunia dengan memperoleh skor keseluruhan 72.0.

Menerusi ranking yang dikongsikan Visual Capitalist, Malaysia hanya ketinggalan tipis di belakang Estonia yang menduduki tempat pertama dengan skor 72.8 dan negara jiran, Singapura di tempat kedua dengan 72.6.

Malaysia Negara Ketiga Terbaik Dunia Untuk Hidup

Kedudukan tersebut bukan dibuat berdasarkan satu faktor semata-mata.

Sebaliknya, penilaian mengambil kira 24 ukuran yang merangkumi beberapa aspek penting seperti kewangan dan cukai, tahap kebolehdiaman dan kesihatan, keselamatan dan kestabilan serta kemudahan untuk berpindah dan peluang yang tersedia.

Prestasi Malaysia sekali gus menyaksikan negara ini berada di hadapan banyak negara maju lain.

Antara negara yang turut berada dalam kelompok teratas ialah Portugal di tempat keempat dengan skor 71.6, diikuti Taiwan (71.4), Lithuania (71.0), Hong Kong (71.0) dan Czechia (69.9).

Brunei pula berada di kedudukan ke-15 dengan skor 69.3, manakala Jepun menduduki tempat ke-17 dengan skor 69.1.

Negara Eropah banyak kuasai kelompok teratas

Secara keseluruhan, negara-negara Eropah mendominasi sebahagian besar kelompok 20 terbaik.

Antara faktor yang membantu kedudukan negara di rantau berkenaan adalah tahap penjagaan kesihatan dan kualiti kehidupan yang tinggi.

Negara seperti Bulgaria dan Cyprus yang masing-masing mencatat skor 69.7 turut mendapat kelebihan daripada kos sara hidup yang secara relatifnya lebih rendah berbanding beberapa negara Eropah Utara dan Barat.

Estonia yang mempunyai sekitar 1.3 juta penduduk pula mencatat prestasi tinggi dalam aspek keselamatan dan kemudahan untuk menetap, selain mempunyai ekosistem syarikat pemula yang kukuh.

Amerika Syarikat di kedudukan ke-107

Apa yang mungkin mengejutkan, Amerika Syarikat berada di kedudukan ke-107 dengan skor 60.0.

Ia berada di belakang beberapa negara lain termasuk Kanada yang berada di tangga ke-41 dengan skor 66.8 dan United Kingdom di tempat ke-49 dengan 65.8.

Walaupun Amerika Syarikat masih mempunyai kelebihan dari segi pendidikan, peluang perniagaan dan keusahawanan, kos sara hidup yang tinggi menjadi antara faktor yang memberi tekanan terhadap penilaiannya.

Namun, kedudukan tersebut tidak menghalang negara berkenaan daripada terus menjadi antara destinasi pilihan pendatang.

Afghanistan di kedudukan terakhir

Di hujung senarai pula, kebanyakan negara yang mencatat skor rendah datang dari Afrika serta beberapa negara yang berdepan konflik dan ketidakstabilan.

Afghanistan berada di kedudukan terakhir dengan skor 39.5, diikuti Yemen dengan 41.4 dan Sudan Selatan dengan 42.3.

Antara faktor yang mempengaruhi kedudukan rendah negara-negara berkenaan termasuk ketidakstabilan politik, kelemahan institusi, masalah keselamatan serta tahap kesihatan dan kebolehdiaman yang rendah.

Apa pun, pencapaian tempat ketiga ini boleh dianggap satu kedudukan yang cukup menarik buat Malaysia, lebih-lebih lagi apabila negara kita berjaya berada di hadapan banyak negara maju lain dalam senarai tersebut.

Intipati
  • Malaysia menduduki tempat ketiga dunia dalam Rumavi Global Relocation Index 2026.
  • Penilaian indeks merangkumi 24 ukuran termasuk kewangan, kesihatan, keselamatan dan peluang berpindah.
  • Amerika Syarikat berada di tangga ke-107, manakala Afghanistan mencatat kedudukan terakhir.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan