Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ MAIWP) hari ini melancarkan Kempen Ramadan bagi tahun 1447H/2026M bertempat di Restoran Chef Kecik Boulangeries, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Haji Abdul Hakim Amir Osman dan berlangsung dalam suasana santai dengan kehadiran rakan strategik serta rakan kolaborasi kempen yang akan bersama-sama menyokong pelaksanaan aktiviti serta program sepanjang Ramadan.

Ini merupakan usaha berterusan PPZ-MAIWP dalam menggalakkan masyarakat Islam menyempurnakan kewajipan berzakat, di samping mempromosi perkhidmatan, saluran bayaran serta program-program menarik sepanjang Ramadan ini.
Mengangkat tema “Ikhlas Memberi, Tulus Membantu”, kempen ini bertujuan menanam nilai memberi dengan penuh keikhlasan, agar setiap sumbangan dapat memberikan manfaat berpanjangan khususnya kepada golongan asnaf.

Istimewanya Kempen Ramadan pada kali ini, PPZ-MAIWP membawakan Ikhlas.Com & Friends yang terdiri daripada Nunha, Airali, Petit Moi, BMO, Zora Designer dan Maison Toha sebagai rakan strategik utama kempen.

Ikhlas.com merupakan salah satu daripada ejen kutipan zakat PPZ-MAIWP dan menerusi kolaborasi ini, pembayar zakat harta PPZ-MAIWP berpeluang memperoleh baucar diskaun eksklusif yang boleh digunakan untuk pembelian barangan pilihan mereka.

Selain itu, kempen ini turut disokong oleh rakan kolaborasi lain iaitu Iman Pro, Beauboss, Khatam dan Chef Kecik yang mana setiap daripadanya bakal menawarkan hadiah dan tawaran menarik khusus buat pembayar zakat PPZ-MAIWP.
Kempen yang berlangsung dari 19 Februari hingga 20 Mac ini bukan sahaja melibatkan aktiviti bersama rakan strategik, malah menampilkan pelbagai program dan aktiviti khas sepanjang Ramadan.

Antaranya ialah Podcast/Live bersama pempengaruh dan panel pelbagai latar belakang, program Sis on the Move menerusi sesi usrah dan iftar khas bersama selebriti serta pengasas jenama tempatan, Ramadan Tour, yang merupakan siri jelajah PPZ-MAIWP ke lokasi tarikan di Kuala Lumpur dan Putrajaya, serta Ramadan Corporate Tour di syarikat-syarikat bagi memberi pencerahan tentang zakat.

Dalam masa sama, hasil kolaborasi bersama Ikhlas.Com, program Turun Padang akan turut diadakan bagi menyantuni asnaf terpilih di sekitar Wilayah Persekutuan, selaras dengan usaha kempen iaitu bagi menanam semangat memberi sepanjang Ramadan.

Perkhidmatan dan Saluran Bayaran Sepanjang Ramadan
A. ZAKAT FITRAH
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-151 telah menetapkan tiga kadar zakat fitrah di Wilayah-Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) bagi tahun 1447H/2026M seperti berikut:
I. Kadar asas fitrah RM8.00, dikenakan ke atas pengguna beras Super Tempatan dan Beras Import Biasa, iaitu peningkatan sebanyak RM1 berbanding tahun lalu.
II. Kadar RM15.00, dikenakan kepada pengguna Beras Import Premium.
III. Kadar RM25.00, dikenakan kepada pengguna Beras Basmathi, meningkat RM3 selaras dengan kenaikan harga semasa.

Orang ramai boleh menunaikan kewajipan zakat fitrah melalui:
• Amil Fitrah - Seramai 946 orang amil fitrah telah dilantik oleh PPZ-MAIWP yang mana 77 orang daripadanya adalah ketua penolong amil dan 869 orang penolong amil fitrah dan bakal ditempatkan di pelbagai lokasi termasuk masjid, surau, pejabat-pejabat dan pusat membeli-belah di seluruh Wilayah Persekutuan. Setiap amil dibekalkan dengan KodRespon Pantas atau Quick Response Code (kod QR) bagi memudahkan transaksi tanpa tunai.
• Portal PPZ-MAIWP di fitrah.zakat.com.my & aplikasi MyZakat
• Ejen-ejen online kutipan PPZ-MAIWP
• 15 perbankan internet
• E-Wallet dan aplikasi – Boost, Shopee, Tulus, The Noor, Touch ‘n Go
• Online Portal – senangPay, MyEG, PayHalal, MyPay, Elzar Shariah, Al Amin dan MyVerify.

B. ZAKAT HARTA
Selain zakat fitrah, orang ramai juga boleh mengambil keberkatan bulan mulia ini dengan menunaikan zakat harta menerusi:
• 10 Kaunter PPZ-MAIWP di buka setiap hari daripada jam 8.15 pagi – 4.30 petang
• Portal - zakat.com.my (kira, bayar, semak)
• Aplikasi MyZakat
• Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB)
• Amil2U - Kaunter Zakat Bergerak, Ride2U & Kaunter Zakat Digital - Perkhidmatan ini khas kepada pembayar yang ingin mendapatkan layanan secara personal & tidak ada masa ke kaunter. Tempahan boleh dibuat di mytemujanji.zakat.com.my
• Ejen-ejen Kutipan Zakat - Perbankan Internet, Kaunter Bank, Pos, E-Wallet, Firma-firma & Lain-lain

C. Pembayaran WAKAF TUNAI boleh dilaksanakan melalui :
• 10 Kaunter PPZ-MAIWP
• Portal https://wakafwilayah.com.my
• Kaunter Zakat dan Wakaf Bergerak
• Potongan Gaji Wakaf

PPZ-MAIWP berharap agar kemudahan dan inisiatif yang disediakan dapat menggalakkan lebih ramai masyarakat Islam menunaikan zakat melalui saluran yang sah dan dipercayai.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ini, layari portal rasmi PPZ-MAIWP atau hubungi di talian 1300 - 88 - 5757 atau emel kepada [email protected].