Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menganugerahkan gelaran Pahlawan Nasional kepada pejuang ekonomi yang juga datuknya, Margono Djojohadikusumo, lapor portal Kompas.
Menurut laporan, Margono merupakan antara 19 tokoh yang menerima gelaran tersebut di Istana Negara, Jakarta Pusat, pada Selasa semalam.
Penganugerahan kepada pengasas Bank Negara Indonesia (BNI) itu disampaikan secara langsung kepada warisnya yang hadir di istana.
Penganugerahan gelaran Pahlawan Nasional ini dibuat berdasarkan Keputusan Presiden Republik Indonesia Nombor 93/TK/Tahun 2026 mengenai Penganugerahan Pahlawan Nasional.
Prabowo Anugerahkan Gelaran Kepada Datuknya
Gelaran itu diberikan sebagai penghargaan negara atas jasa luar biasa tokoh-tokoh berkenaan dalam mencapai, merebut, mempertahankan dan mengisi kemerdekaan, selain mewujudkan perpaduan serta kesatuan bangsa Indonesia.
Sementara itu, berdasarkan penerangan yang disampaikan, Margono dikategorikan sebagai pahlawan dalam bidang politik dan ekonomi.
Margono dikatakan memberikan sumbangan luar biasa dalam perjuangan kemerdekaan sebagai anggota ke-62 BPUPKI.
Beliau turut berperanan menubuhkan Bank Negara Indonesia (BNI) pada 1944, selain menjadi anggota Konius III Negara serta terlibat dalam Rundingan Roem-Royen dan Persidangan Meja Bulat (KMB) pada 1949.
Siapa yang mencalonkan Margono sebagai Pahlawan Nasional?
Untuk makluman, pencalonan Raden Mas Margono Djojohadikusumo dikemukakan oleh komuniti penduduk menerusi Seruan Eling Banyumasan sejak Mac 2025.
Cadangan itu kemudiannya dipanjangkan oleh Gabenor Jawa Tengah sebelum diterima Kementerian Sosial pada 6 April 2026.
Memetik Jabatan Arkib dan Perpustakaan Banyumas, Margono dilahirkan di Purwokerto, Banyumas, Jawa Tengah pada 16 Mei 1894 dalam keluarga pejuang.
Beliau merupakan cicit kepada Raden Tumenggung Banyakwide (Panglima Banyakwide), pengikut setia Pangeran Diponegoro dalam Perang Jawa.
Sementara itu, bapanya menyandang jawatan sebagai Asisten Wedana Banyumas. Margono mendapat pendidikan rendah di Europeesche Lagere School (ELS) Banyumas dari 1900 hingga 1907.
Latar belakang pendidikan tersebut membentuk beliau menjadi seorang yang bukan sahaja memahami tadbir urus birokrasi, malah turut aktif dalam gerakan kebangsaan.
Margono merupakan bapa kepada tokoh ekonomi Indonesia, Prof Dr Soemitro Djojohadikoesoemo, iaitu bapa Presiden Prabowo.
Dua anak lelakinya terkorban dalam Pertempuran Lengkong, iaitu Kapten Anumerta Soebianto Djojohadikoesoemo dan Taruna Soejono Djojohadikoesoemo.
Nama kedua-duanya kemudian diabadikan pada nama cucu-cucunya, Prabowo Subianto dan Hashim Sujono.
Sepanjang kerjayanya, Margono diberi kepercayaan menggalas amanah sebagai Pengerusi Dewan Pertimbangan Agung Sementara (DPAS) yang pertama, sehari selepas Soekarno-Hatta dilantik sebagai Presiden dan Naib Presiden Republik Indonesia.
Menerusi jawatan tersebut, Margono mencetuskan gagasan strategik yang mengubah landskap kewangan negara, iaitu kepentingan menubuhkan bank pusat atau bank pengeluar mata wang sebagaimana yang diamanatkan dalam Undang-Undang Dasar 1945.
Soekarno-Hatta kemudian memberikan mandat rasmi kepada Margono pada 16 September 1945 untuk membuat persediaan bagi penubuhan institusi kewangan tersebut.
Tiga hari kemudian, Mesyuarat Dewan Menteri memutuskan penubuhan sebuah bank milik negara yang berfungsi sebagai bank pengeluar mata wang.
Gagasan ini direalisasikan pada 15 Julai 1946 menerusi penerbitan Peraturan Pemerintah Pengganti Undang-Undang (Perppu) Nombor 2 Tahun 1946 mengenai Penubuhan Bank Negara Indonesia.
Margono dilantik sebagai Pengarah Urusan pertama BNI. Di bawah kepimpinannya, BNI berkembang menjadi tonggak utama kedaulatan ekonomi Indonesia yang baru ditubuhkan, sebelum status perundangannya diubah menjadi syarikat berhad (persero) pada 1970.
