Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Premis Baharu Diperlukan Segera Di Tengah KL Untuk Bank Makanan Dan Perkhidmatan Bantuan Komuniti

Kuala Lumpur, 5 September 2022 – Kechara Soup Kitchen (KSK) memerlukan sebuah premis baharu di tengah-tengah Kuala Lumpur bagi mengembangkan operasi khidmat masyarakatnya. Ini berikutan penilaiannya yang mendapati jumlah orang yang memerlukan bantuan semakin meningkat.

KSK, sebuah organisasi bukan untung yang juga merupakan dapur ‘soup kitchen’ terbesar dan tertua di Malaysia, telah menyediakan makanan dan keperluan asas untuk golongan gelandangan dan kurang bernasib baik di Malaysia sejak 14 tahun lalu.

“Buat masa ini, kami beroperasi di dua premis. Pejabat semasa kami di Jalan Imbi, Kuala Lumpur telah digunakan sebagai dapur Soup Kitchen yang menyediakan makanan serta bantuan klinik dan kebajikan secara percuma sejak 2009 lagi. Sementara itu, pusat program latihan Pemerkasaan Bank Makanan kami di Setapak akan beroperasi sehingga Ogos 2023 sahaja. Oleh itu, kami ingin menyatukan operasi berlainan ini di satu tempat,” kata Pengarah Operasi Kechara Soup Kitchen, Justin Cheah.

“Lokasi yang tidak digunakan di tengah Kuala Lumpur, contohnya di Chow Kit atau Jalan Petaling adalah sesuai,” kata Cheah, yang menjelaskan bahawa KSK menghulurkan khidmat untuk orang ramai tanpa mengira bangsa, agama, budaya atau latar belakang mereka.

KSK menganggarkan bahawa ia memerlukan ruang sekitar 10,000 kaki persegi untuk menampung keperluan yang telah meningkat buat masyarakat rentan, sejak krisis pandemik melanda negara. “Premis baharu ini akan membolehkan kami beroperasi secara mampan dalam tempoh 10 tahun akan datang,” tambah Cheah.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, KSK telah meluaskan tumpuannya kepada golongan miskin yang paling rentan. Strategi ini telah melahirkan program Bank Makanan dan Pemerkasaan KSK yang menyokong pelbagai segmen masyarakat, sebelum mereka jatuh ke lembah kemiskinan dan kepayahan melampau.

Sejak 2008, KSK telah menghidangkan lebih 1.3 juta hidangan panas melalui program Soup Kitchen anjurannya. Ia juga telah mengagihkan semula lebih 2.9 juta kilogram produk makanan kepada masyarakat miskin dan kurang berkemampuan yang tinggal di flat PPR dan rumah perlindungan komuniti seperti rumah anak yatim, rumah orang tua, pusat pemulihan, serta di pusat orang kurang upaya. Manakala, Program Pemerkasaan anjurannya telah melatih semula 132 individu yang dahulunya tidak mempunyai sumber pendapatan, menempatkan 390 orang dalam pekerjaan, dan menangani lebih 11,000 kes perubatan.

Lokasi di Tengah Bandar: Mudah Diakses Untuk Semua

KSK percaya ia boleh mencetuskan impak berkali ganda dengan tapak bangunan di tengah KL – menjadikannya mudah diakses oleh golongan gelandangan dan miskin bandar untuk mendapatkan makanan, kelas latihan dan pelbagai bentuk bantuan kebajikan lain.

“Kini semakin ramai orang memerlukan bantuan keperluan asas, bukan sahaja di Kuala Lumpur, tetapi di seluruh negara. Kerajaan baru-baru ini mengumumkan bahawa jurang B40 telah melebar dan kadar inflasi telah mencecah paras tertinggi dalam sejarah. Tambahan lagi, kami melihat keperluan untuk menampung bilangan golongan rentan yang mendadak naik. Antara faktornya adalah perubahan cuaca yang tidak menentu, yang juga telah menyebabkan banjir dan menggugat punca pendapatan,” jelas Cheah.

“KSK perlu mempunyai gudang yang besar – mencukupi untuk menerima sumbangan makanan secara pukal. Dari segi logistik, ruang yang lebih besar akan turut memberi kita masa yang mencukupi untuk menghabiskan bekalan dengan efisien, atau menyimpan bekalan tertentu untuk tempoh yang lebih lama. Lokasi strategik di tengah-tengah bandar juga akan memudahkan organisasi dan individu untuk menawarkan sumbangan dan bantuan mereka,” kata Cheah.

Dengan ruang yang mencukupi, KSK akan dapat meyakinkan lebih banyak pengeluar makanan untuk menyalurkan produk mereka yang hampir tamat tempoh ke sini, sekaligus bekerjasama untuk mengurangkan pembaziran.

“Bangunan baharu ini juga membolehkan kami untuk menyediakan lebih banyak perkhidmatan seperti program celik kewangan dan perkhidmatan kaunseling, di samping memberi ruang tambahan untuk menguruskan lebih banyak kes buat individu rentan,” kata Cheah.

Kelemahan Semasa: Merapatkan Jurang

“Sejujurnya, di waktu pasca-COVID ini, bilangan penyumbang dana tetap dan jumlah wang yang mengalir masuk telah menurun dengan ketara,” kata Cheah.

Tambahan lagi, perbelanjaan operasi telah meningkat seiring dengan kenaikan kos makanan dan bekalan. Pada masa ini, KSK berhadapan dengan kekurangan dana sebanyak 20% dan jurang ini perlu segera ditutup.

“Kami bergantung pada derma dan sumbangan, dan jumlah ini telah turun mendadak selepas wabak. Malah, kami kini menggunakan wang simpanan sendiri untuk memastikan organisasi ini dapat terus menjalankan usaha murni ini. Perjalanan ini amat sukar, dan pada masa yang sama kita melihat keperluan yang semakin meningkat di sekeliling kita,” katanya.

“Dapur ‘soup kitchen’ kami beroperasi setiap hari, dari hari Isnin hingga Sabtu, menyediakan hidangan yang seimbang. Buat sesetengah orang, inilah satu-satunya hidangan yang dijamah sepanjang hari,” kata Vivian Ong.

“Di jalanan, apa yang kita lihat adalah amat memilukan – mereka yang telah ditinggalkan, atau kehilangan tempat tinggal, berada dalam keadaan putus asa. Sedikit sebanyak, keikhlasan hati dan penglibatan orang ramai akan dapat meringankan beban, sekiranya konsisten,” kata Cheah sebelum menambah bahawa KSK telah berkhidmat kepada 23,000 individu gelandangan sejak penubuhannya.

Selain dapur ‘soup kitchen’, KSK mengagihkan peruntukan barangan kering bernilai RM150 sebulan setiap keluarga, dan hari ini, jumlah ini tidak mencukupi. Peningkatan kos bahan mentah harian dan gangguan rantaian bekalan telah menyempitkan lagi kehidupan banyak keluarga.

Sinar cahaya

Berbekalkan rekod prestasi selama 15 tahun dalam pengurusan program yang efektif, pengasas dan pemimpin KSK telah menerima banyak jemputan untuk membentangkan amalan terbaiknya di forum tempatan dan antarabangsa – sekaligus membolehkan banyak NGO dan dapur ‘soup kitchen’ lain untuk membentuk sistem dan proses mereka, serta meningkatkan pengetahuan dalam bidang ini.

“Kami ingin merayu kepada penderma korporat dan individu untuk bersama kami meneruskan usaha murni ini, dan melakukannya secara mampan agar dapat membantu lebih ramai orang, ” kata Cheah, sambil berkongsi bahawa laporan tahunan KSK telah diterbitkan di laman web organisasi itu.

KSK turut menyeru sokongan orang ramai supaya ia dapat terus membantu komuniti memerlukan dengan efektif. KSK juga sedang mencari lebih ramai kakitangan – termasuk pengurus kes, sukarelawan tetap dan rakan kerjasama korporat jangka panjang.

Lebih 25,000 sukarelawan telah mara untuk membantu di KSK, di mana buat ramai antara mereka – ia merupakan sebuah pengalaman yang mengubah kehidupan.

Untuk maklumat lanjut atau untuk menderma dan membuat sumbangan, sila hubungi KSK di T:+6010 3333 260.

Buat penderma dan penyumbang yang ingin mengikuti perkembangan terkini mengenai aktiviti KSK, serta membaca laporan tahunan dan kisah impaknya, sila layari: