Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Presiden Argentina Tidak Akan Hadiri Final Piala Dunia 2026
Presiden Argentina, Javier Milei, mengesahkan beliau tidak akan menghadiri perlawanan akhir Piala Dunia 2026 yang menemukan Argentina dengan Sepanyol pada Ahad ini.
Walaupun ramai menjangkakan beliau akan berada di Stadium MetLife, New Jersey, bagi menyaksikan aksi penting itu bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan Presiden FIFA, Gianni Infantino, Milei memilih untuk terus menonton perlawanan tersebut dari kediaman rasminya di Olivos, Buenos Aires.
Difahamkan, keputusan itu dibuat kerana kepercayaan terhadap amalan tahyul atau ritual yang dipercayainya membawa tuah kepada skuad La Albiceleste.
Milei berkata beliau akan mengekalkan rutin yang sama seperti ketika Argentina mengharungi tujuh perlawanan terdahulu dalam kejohanan itu, yang kesemuanya berakhir dengan kemenangan.
"Saya akan terus menonton semua perlawanan dari Olivos," katanya ketika ditemu bual stesen radio tempatan, El Observador.
Apabila ditanya sama ada keputusan itu dibuat atas faktor kepercayaan atau 'superstition', Milei mengakuinya dan turut berkongsi satu lagi ritual yang diamalkannya.
Menurut beliau, setiap kali menyaksikan perlawanan Argentina, beliau akan memakai jaket tebal berjenama syarikat minyak yang sama.
Katanya, ketika aksi menentang Switzerland, beliau berasa terlalu panas lalu menanggalkan jaket tersebut. Tidak lama kemudian, Switzerland berjaya menjaringkan gol.
"Saya memakainya semula dan sejak itu saya tidak pernah menanggalkannya lagi," katanya.
Kepercayaan seperti itu bukan sesuatu yang luar biasa di Argentina.
Di negara Amerika Selatan itu, amalan dikenali sebagai 'cábalas' merujuk kepada ritual atau tabiat yang dipercayai mampu membawa tuah kepada pasukan kebangsaan.
Ramai penyokong sanggup mengulangi rutin yang sama sepanjang kejohanan jika Argentina terus mencatat kemenangan.
Ada yang memakai pakaian sama setiap kali perlawanan, ada juga yang enggan membasuh jersi sehingga kejohanan tamat. Malah, ada yang hanya akan menonton perlawanan di tempat duduk yang sama kerana percaya perubahan kecil boleh mengubah nasib pasukan.
Lebih unik, terdapat penyokong yang percaya mereka tidak boleh menonton perlawanan secara langsung kerana setiap kali mereka berada di bilik air, Argentina akan menjaringkan gol.
Dalam satu video yang tular semasa Piala Dunia 2026, sekumpulan penyokong dilihat membaca petikan Bible ketika Argentina mula menjaringkan gol menentang Mesir.
Sejak itu, mereka mengulangi ritual sama pada setiap perlawanan kerana percaya ia membawa tuah.
Ada juga penyokong yang membekukan patung pemain lawan atau sekeping kertas yang tertulis nama pasukan lawan sebagai simbolik untuk melemahkan pihak lawan.
Kepercayaan mengenai kehadiran presiden ketika perlawanan penting sebenarnya mempunyai sejarah tersendiri di Argentina.
Ia bermula pada Piala Dunia 1990 apabila Presiden ketika itu, Carlos Menem, melawat skuad Argentina sebelum perlawanan pembukaan menentang Cameroon.
Argentina tewas secara mengejut 0-1 dalam perlawanan tersebut, menyebabkan Menem dilabel sebagai "mufa", iaitu istilah yang membawa maksud individu yang dianggap membawa nasib malang.
Sejak insiden itu, tiada presiden Argentina yang sedang memegang jawatan diketahui menghadiri perlawanan melibatkan pasukan kebangsaan dalam kejohanan Piala Dunia.
Atas sebab itu, Milei memilih untuk tidak mengubah rutin yang dianggap membawa tuah, dengan harapan Argentina mampu mempertahankan kejuaraan dunia buat kali kedua berturut-turut.