Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berakhir baru-baru ini disifatkan sebagai petanda bahawa kekuatan politik orang Melayu mampu kembali sekiranya kaum itu bersatu.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata keputusan tersebut membuktikan penyatuan orang Melayu mampu memperkukuhkan kedudukan politik mereka walaupun bentuk kerjasama yang terjalin ketika ini masih belum jelas dari segi struktur dan ikatannya.
Menurut beliau, perkembangan itu wajar diterima sebagai satu langkah ke arah mengukuhkan semula kekuatan politik orang Melayu.
“Walaupun bentuk kerjasama politik yang wujud ketika ini masih belum jelas dari segi struktur dan ikatannya, ia perlu diterima sebagai satu langkah ke arah memperkukuh kedudukan politik orang Melayu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Dr Mahathir berkata, penyatuan itu bukan bertujuan mempertahankan perkara yang salah atau melakukan kebatilan.
Sebaliknya, ujarnya, kekuatan politik tersebut perlu dimanfaatkan untuk mengangkat martabat orang Melayu, memelihara kedudukan agama Islam serta mempertahankan kedaulatan negara.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha menyatukan orang Melayu bukan bertujuan menekan atau menafikan hak mana-mana kaum lain di negara ini.
“Apabila orang Melayu bersatu dan mempunyai kekuatan politik, ia memberi keyakinan kepada mereka untuk memperjuangkan kepentingan kaumnya tanpa mempertikai hak-hak kaum lain,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan itu telah diamalkan sejak negara mencapai kemerdekaan dan terbukti berjaya membawa kemakmuran bukan sahaja kepada orang Melayu, malah kepada seluruh rakyat pelbagai kaum.
Sehubungan itu, Dr Mahathir menyeru orang Melayu agar terus memperkukuh perpaduan dan kekuatan politik demi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.
“Kerana itu Melayu perlu bersatu dan memperkukuh kekuatan politik mereka. Hanya dengan cara ini tanah air kita akan kekal hak kita,” ujarnya.