Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Projek Naik Taraf Jalan Kubang Kerian Capai 71.61% - Nanta

KERIAN
Kredit: Facebook Alexander Nanta Linggi

Projek Naik Taraf Jalan Kubang Kerian Capai 71.61% - Nanta

Kesesakan lalu lintas yang membelenggu ribuan pengguna jalan raya di Kubang Kerian hampir setiap hari terus menjadi perhatian Kementerian Kerja Raya (KKR), susulan perkembangan projek menaik taraf Jalan FT209 dan FT131 yang kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 71.61 peratus.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau turun padang meninjau sendiri projek dari Persimpangan Bertingkat Pasir Hor ke Panchor bagi memastikan pelaksanaannya benar-benar mampu menyelesaikan masalah kesesakan yang dihadapi rakyat.

Katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini, projek bernilai RM191 juta itu dijangka memberi impak besar terhadap kelancaran aliran trafik selain meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya apabila siap kelak.

Menurut beliau, sepanjang lawatan itu pihaknya turut dimaklumkan mengenai isu banjir di beberapa kawasan tapak pembinaan yang menjejaskan penduduk serta pengguna jalan raya.

“Saya telah mengarahkan pihak kontraktor supaya mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu tersebut, termasuk melaksanakan langkah-langkah mitigasi yang bersesuaian tanpa menunggu sehingga projek siap sepenuhnya.

“Keselamatan dan keselesaan rakyat tidak boleh dikompromi,” katanya.

Dalam pada itu, Alexander berkata, tinjauan berkenaan turut menjadi platform untuk meneliti perkembangan projek-projek pembinaan di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) di seluruh negara.

Menurutnya, daripada 865 projek yang sedang dilaksanakan, sebanyak 50 projek atau 5.78 peratus dikenal pasti sebagai projek sakit.

“Di Kelantan pula, daripada 104 projek yang sedang berjalan, terdapat tujuh projek atau 6.7 peratus berada dalam kategori projek sakit.

“Saya memandang serius perkara ini. Setiap projek sakit dipantau secara berkala dan tindakan intervensi akan terus diperkukuhkan supaya kelewatan dapat diminimumkan serta projek dapat disiapkan secepat mungkin demi kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, dua projek strategik di Kelantan turut menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) kini mencapai kemajuan sekitar 80 peratus dan disasarkan siap pada 2028.

Ujarnya, projek Jalan Kota Bharu–Kuala Krai (KBKK) pula telah mencatat kemajuan sekitar 72.72 peratus dan turut dijadualkan siap pada tahun yang sama.

“Kedua-dua projek ini akan menjadi pemangkin penting kepada jaringan perhubungan, mobiliti rakyat dan pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

Alexander turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary, yang hadir bersama dalam lawatan berkenaan.

Beliau berkata, Kerajaan MADANI melalui KKR akan terus memastikan setiap projek dipantau secara dekat, setiap isu ditangani dengan segera dan setiap peruntukan yang dibelanjakan diterjemahkan kepada infrastruktur berkualiti yang memberi manfaat kepada rakyat.