Pemerkasaan pekerjaan dan reformasi pasaran buruh yang diumumkan dalam Belanjawan MADANI Kelima 2027 mampu memberi kesan positif kepada pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara.
Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Dr. Mohamad Norjayadi Tamam berkata, langkah yang dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu itu menjadi asas penting untuk merapatkan jurang antara produktiviti dan upah pekerja.
“Gaji minimum menaikkan lantai, tetapi yang membina tangga ialah produktiviti. Melalui PROSHARE, MPC mahu memastikan setiap ringgit kenaikan gaji disokong oleh nilai tambah yang lebih tinggi, supaya pekerja menikmati upah bermaruah dan majikan, khususnya PMKS, kekal berdaya saing.
“Inilah kemakmuran bersama yang kita sasarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara langkah utama Belanjawan 2027 ialah kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027 yang membabitkan lebih empat juta pekerja. Bagaimanapun, PMKS dengan jualan di bawah RM50 juta dikecualikan bagi memberi ruang kepada mereka menyesuaikan model perniagaan.
Kerajaan turut memperkenalkan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan sebagai permulaan, manakala GLIC dan GLC menaikkan penanda aras gaji sara hidup kepada RM3,400 yang memanfaatkan 230,000 pekerja.
Usaha itu disokong peruntukan RM8 bilion bagi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) rentas kementerian, termasuk tiga juta peluang latihan kemahiran oleh HRD Corp, selain perlindungan sosial yang lebih kukuh untuk pekerja gig. Dalam pada itu, Dr. Mohamad Norjayadi berkata, pampasan pekerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kini berada pada 33.9 peratus berbanding sasaran 40 peratus (RMK13).
Merujuk Tinjauan Ekonomi 2027, beliau berkata dapatan kaji selidik MSME Wage Inequality Survey 2025 oleh MPC mendapati penetapan gaji dalam PMKS masih didominasi pihak pengurusan, dengan hanya 5.3 peratus melibatkan penyertaan pekerja.
Lebih separuh firma iaitu 54.7 peratus hanya memperuntukkan satu hingga 10 peratus pampasan berasaskan prestasi, manakala 11.3 peratus firma langsung tidak mengaitkan pampasan dengan prestasi.
Menurutnya, situasi itu menunjukkan kebanyakan PMKS sudah mempunyai mekanisme pembayaran gaji tersendiri. Namun, mekanisme yang lebih telus untuk menghubungkan pembangunan kemahiran, kemajuan prestasi dan peningkatan produktiviti dengan kenaikan gaji yang mampan masih terhad, sekali gus mengehadkan peluang pekerja menikmati gaji yang lebih tinggi.
Sehubungan itu, Tinjauan Ekonomi 2027 turut mengiktiraf PROSHARE (Produktiviti untuk Kemakmuran Bersama), inisiatif MPC, sebagai antara mekanisme untuk menginstitusikan struktur gaji berteraskan produktiviti.
PROSHARE membantu firma mengukur produktiviti, mengenal pasti jurang prestasi dan melaksanakan penambahbaikan bersasar, sekali gus menterjemahkan produktiviti kepada pertumbuhan mampan, keuntungan dan gaji yang adil.
Dr. Mohamad Norjayadi berkata, MPC menyasarkan 200 PMKS, khususnya dalam industri berintensifkan buruh, menyertai PROSHARE pada 2027.
Selain itu, MPC akan menyokong usaha mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah, selaras sasaran siling 10 peratus menjelang 2030, menerusi automasi, pendigitalan dan pendekatan Akademi Dalam Industri (ADI).
MPC juga akan memperkukuh pengukuran dan data produktiviti peringkat firma bagi memandu dasar gaji berasaskan bukti. Produktiviti buruh negara diunjur meningkat 3.7 peratus kepada RM112,098 pada 2027.
Beliau berkata, MPC komited bekerjasama dengan kementerian, majikan, kesatuan sekerja dan rakan industri bagi memastikan pertumbuhan itu diterjemahkan kepada gaji yang lebih tinggi dan pekerjaan berkualiti, selaras sasaran Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

