Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkukuh usaha membudayakan tabungan pendidikan sejak awal kelahiran menerusi Program Junior Superhero Simpan SSPN Tahun 2026. Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang mula diperkenalkan pada tahun 2023 ini diteruskan bersempena dengan Hari Tabungan Sedunia bagi menggalakkan ibu bapa merancang masa depan pendidikan anak-anak lebih awal.
Program Junior Superhero Simpan SSPN Tahun 2026 telah diadakan di Hospital Pulau Pinang yang disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN. Turut hadir YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN, YBrs. Dr. Goh Hin Kwang, Pengarah Hospital Pulau Pinang, Puan Wan Zawiah Wan Abu Bakar, Pengurus Besar Kanan PTPTN dan Encik Muhammad Muhsin Abdul Rahman, Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang.
Melalui program ini, Pengerusi PTPTN telah menyantuni dan beramah mesra bersama ibu-ibu yang telah melahirkan cahaya mata. PTPTN berbesar hati memberikan sumbangan berjumlah RM10,000 untuk 50 kelahiran bayi baharu pada bulan Oktober 2026. Sumbangan ini melibatkan pembukaan atau penambahan akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM100 dan cenderamata berupa hamper barangan bayi bernilai RM100 kepada setiap penerima.
Pengerusi PTPTN, YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim berkata, “Program Junior Superhero Simpan SSPN yang diperkenalkan pada tahun 2023 telah dilaksanakan di beberapa hospital, termasuk Hospital Pulau Pinang. Penganjuran kali ini meneruskan usaha menggalakkan amalan menabung untuk pendidikan tinggi sejak anak dilahirkan, seiring dengan aspirasi Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS).”
“Penganjuran ini mencerminkan komitmen PTPTN untuk mendekati masyarakat dan menyokong perancangan pendidikan anak-anak sejak awal usia. Usaha ini juga selari dengan hasrat membentuk masyarakat yang lebih celik kewangan serta menyumbang kepada pembangunan modal insan negara,” tambah beliau lagi.

Selain inisiatif PTPTN ini, ibu bapa di Pulau Pinang boleh memanfaatkan Program Anak Emas, hasil kerjasama strategik PTPTN dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Program Anak Emas ini merupakan insentif Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk anak kelahiran baharu di Pulau Pinang. Mulai 15 Januari 2024, insentif Program Anak Emas diberikan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime dan tunai. Setiap anak kelahiran yang layak diberikan sebanyak RM100 yang disalurkan ke akaun Simpan SSPN Prime dan RM100 lagi dikreditkan ke akaun bank.
PTPTN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta kerajaan-kerajaan negeri lain atas sokongan dan kerjasama dalam memperkukuh budaya menabung untuk pendidikan tinggi. Komitmen bersama ini amat bermakna dalam membantu ibu bapa menyediakan tabungan pendidikan anak-anak sejak awal, sekali gus membuka peluang yang lebih luas untuk masa depan mereka.
Simpan SSPN merupakan produk simpanan PTPTN yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat. Antaranya ialah pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin Kerajaan dan patuh syariah. Sejak diperkenalkan pada tahun 2004 sehingga 30 September 2026, deposit Simpan SSPN yang diterima adalah berjumlah RM26.07 bilion dengan 7.74 juta akaun yang telah dibuka.
PTPTN sentiasa komited untuk terus memperkukuh kerjasama strategik dan melaksanakan inisiatif yang menyokong perancangan kewangan pendidikan keluarga. Ibu bapa digalakkan memulakan tabungan pendidikan anak-anak seawal mungkin melalui Simpan SSPN kerana setiap simpanan hari ini menjadi bekalan untuk merealisasikan impian mereka pada masa hadapan. Maklumat lanjut, layari portal rasmi www.ptptn.gov.my.
