Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

PTPTN Tawar Wang Pendahuluan Pinjaman Kepada Lebih 40,000 Pelajar Diploma Bagi Sesi Jun 2026

Syamimi
WANG

PTPTN Tawar Wang Pendahuluan Pinjaman Kepada Lebih 40,000 Pelajar Diploma Bagi Sesi Jun 2026

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), terus memperkukuh komitmennya dalam menyokong agenda pemerkasaan pendidikan tinggi negara menerusi pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) sebanyak RM1,500 kepada setiap pelajar baharu yang layak.

Kemudahan ini disediakan bagi membantu menampung sebahagian kos persediaan awal kemasukan ke Universiti Awam (UA) dan Politeknik, sekali gus meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh keluarga. Inisiatif ini juga mencerminkan keprihatinan PTPTN dalam memastikan pelajar dapat memulakan pengajian mereka dalam keadaan yang lebih bersedia, teratur dan selesa.

WPP ini diberikan kepada pelajar-pelajar warganegara Malaysia yang telah memberikan persetujuan menerima WPP semasa membuat permohonan kemasukan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) melalui UPUOnline atau melalui portal kemasukan UA.

Selain itu, ibu bapa atau penjaga pelajar juga merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria kelayakan yang telah ditetapkan. Semenjak WPP diperkenalkan pada tahun 1999 hingga 30 April 2026, seramai 999,838 orang pelajar telah menerima manfaat ini dengan peruntukan berjumlah RM1.48 bilion.

Penawaran WPP akan memberi manfaat kepada seramai 40,099 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian peringkat Diploma di UA dan Politeknik bagi kemasukan sesi Jun 2026 melibatkan peruntukan berjumlah RM60.1 juta. Pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui aplikasi myPTPTN dan boleh menunaikan WPP tersebut di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara mulai 10 Jun 2026 (Rabu) dengan membawa surat tawaran WPP dan juga MyKad pelajar (wakil adalah tidak dibenarkan). Tempoh sah laku WPP adalah selama dua (2) bulan bermula 10 Jun 2026 (Rabu) hingga 9 Ogos 2026 (Ahad).

Pada hari ini, PTPTN menyantuni pelajar yang ditawarkan WPP melalui sesi ziarah ke rumah pelajar oleh YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN di kawasan Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Semasa sesi ziarah, beliau telah menyampaikan surat tawaran WPP kepada pelajar yang layak. Turut serta, Puan Wan Zawiah Wan Abu Bakar, Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN serta Encik Muhammad Muhsin bin Abdul Rahman, Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang.

Pengerusi PTPTN, Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim berkata, “PTPTN sentiasa komited untuk memastikan akses kepada pendidikan tinggi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang sosioekonomi. Inisiatif pemberian WPP PTPTN ini adalah untuk membantu menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal pelajar baharu memasuki UA dan Politeknik.”

Untuk makluman, pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN mengikut tarikh permohonan yang ditetapkan bagi setiap UA dan Politeknik untuk memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan sewajarnya. Pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang boleh dibuka melalui aplikasi myPTPTN.

Para pelajar boleh merujuk kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar UA dan Politeknik masing-masing atau terus menghubungi PTPTN sekiranya terdapat sebarang pertanyaan. Maklumat lanjut berkenaan WPP PTPTN dan pinjaman PTPTN juga boleh diperoleh melalui aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat.