Purata Inflasi Keseluruhan Dijangka Kekal Dalam Julat 2.2 Hingga 3.2 Peratus
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan sebentar tadi memaklumkan bahawa sejak awal tahun ini, inflasi keseluruhan berpurata pada 2.4 peratus.
“Meskipun purata tersebut dijangka kekal dalam julat unjuran tahun ini iaitu 2.2% hingga 3.2%, inflasi keseluruhan mungkin lebih tinggi pada sesetengah bulan disebabkan terutamanya oleh kesan asas daripada harga elektrik.
“Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka berpurata antara 2.0% hingga 3.0% pada tahun 2022 apabila permintaan terus bertambah baik dalam keadaan kos yang tinggi,” lapor BNM.
Walau bagaimanapun, sebahagian dari kesan tekanan inflasi akan terus dibendung menerusi kawalan harga yang sedia ada, subsidi bahan api dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi.
“Prospek inflasi terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global yang disebabkan terutamanya oleh konflik ketenteraan yang berterusan di Ukraine dan gangguan berkaitan bekalan yang berlarutan, di samping langkah-langkah dasar dalam negeri,” jelas BNM.
Dalam kenyataan yang sama, Bank Negara Malaysia (BNM) turut mengumumkan bahawa pihaknya bersetuju untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus. Kadar tertinggi koridor bagi OPR juga turut dinaikkan kepada 2.50 peratus dan 2.00 peratus.
Keputusan itu dibuat selepas mengadakan mesyuarat bersama ahli Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada 6 Julai 2022, Rabu.
Sumber: BNM
