Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pusat Kumpul, Proses Getah Bakal Dibina Di Gerik

GERIK, 30 Jan – Sebuah pusat pengumpulan dan pemprosesan getah akan dibina di sini tidak lama lagi bertujuan membantu pekebun kecil memasarkan hasil getah mereka, kata Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Razman Zakaria.

Beliau berkata ketika ini para pekebun kecil terpaksa menjual getah di Baling, Kedah yang terletak kira-kira 40 kilometer dari sini.

“Dengan adanya pusat itu, pekebun kecil boleh menjual getah dengan harga lebih baik dan mengurangkan kos pengangkutan,” katanya kepada Bernama selepas meninjau ladang getah milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) di Sungai Rui dekat sini, hari ini.

Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gunung Semanggol bagaimanapun tidak menyebut kos bagi pembinaan pusat itu.

Beliau berkata sebanyak 5,000 tan getah dihasilkan pekebun di Gerik yang terletak dalam Daerah Hulu Perak sehari.

Menurut Razman, PPPNP mempunyai 890 hektar tanah dan daripada jumlah itu 237.99 hektar telah ditanam dengan getah dan 200 hektar ditanam nangka madu.

Terdahulu, Razman ketika meninjau projek tanaman cili di perkarangan Masjid Jamek Pengkalan Hulu menyarankan semua masjid dan sekolah yang mempunyai kawasan lapang agar mengusahakan tanaman itu kerana ia mampu memberikan pulangan pendapatan.

Katanya sebagai contoh, tanaman 1,000 pokok cili dalam polibeg di masjid itu berjaya menyumbang pendapatan RM20,000 setahun sejak 2017.

Cili merah itu dipasarkan dengan harga RM12 sekilogram semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan konsep pertanian bandar seperti ini juga perlu dipraktikkan di kawasan rumah, katanya.

— BERNAMA