Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Rafizi Gesa PM, Pimpinan PH Beri Penjelasan Berhubung Tahanan Rumah Najib

Rafizi
Kredit: Bernama

Pemimpin Parti BERSAMA, Datuk Seri Rafizi Ramli menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan Pakatan Harapan (PH) memberi penjelasan mengenai pengampunan bersyarat dan tahanan di rumah yang diberikan kepada Datuk Seri Najib Razak.

Rafizi berkata Anwar dan pimpinan PH perlu memberikan penjelasan sebaiknya serta tidak mengulangi hujah bahawa perkara itu di luar kawalan mereka.

“Berita mengenai pengampunan bersyarat dan pelepasan tahanan di rumah yang diberikan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak semestinya diterima berbeza-beza oleh pelbagai lapisan rakyat.

“Ada yang marah, ada yang kecewa, ada yang gembira.

“Saya berharap rakyat diberi ruang untuk menzahirkan pandangan mereka selagi di dalam batas undang-undang.

“Saya juga berharap rakyat biasa berpada-pada dalam menzahirkan pandangan mengenai perkara ini kerana ia telah berlaku, dan ia berlaku di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

“Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan PH dari PKR, DAP dan AMANAH untuk memberi penjelasan yang sebaiknya, serta tidak mengulangi hujah yang sama iaitu perkara ini adalah di luar kawalan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Rafizi, perkara ini bukan soal politik tetapi hutang Anwar dan PH kepada rakyat mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), terutamanya individu-individu tidak bernama yang mengambil risiko besar dalam menjalankan tugas harian mereka sehingga isu 1MDB diketahui umum.

“Datuk Seri Anwar mendapat laba besar dari isu 1MDB. Selain dari ucapan di Parlimen yang ditulis oleh penulis-penulis ucapan, beliau tidak ke depan memperhalusi skandal 1MDB berbanding ramai rakyat biasa yang lain.

“Di kemuncak pertembungan skandal 1MDB di antara tahun 2015 hingga 2018, beliau berada di penjara.

“Tanggungjawab memperjuangkan hak rakyat bersabit 1MDB digalas oleh rakyat biasa di kalangan penjawat awam, media dan aktivis. Ramai dari mereka ini tidak bernama.

“Skandal 1MDB juga meyakinkan sebahagian rakyat yang tidak pernah mengundi PH untuk memilih PH menjadi kerajaan dalam pilihan raya 2018.

“Maka, adalah wajar Datuk Seri Anwar dan kepimpinan PH menjelaskan kepada rakyat mengenai pelepasan tahanan di rumah yang diberikan kepada Datuk Seri Najib, walaupun sekadar untuk menenangkan rakyat yang kecewa dengan keputusan ini,” ujarnya.

Kredit: Rafizi Ramli

Rafizi juga meminta Perdana Menteri untuk sekurang-kurangnya mengumumkan syarat-syarat tahanan di rumah secara terperinci. Hal ini kerana, menurutnya jika ada sebarang pelanggaran yang nyata, tindakan boleh diambil.

Ujarnya, rakyat biasa perlu menjadi mata dan telinga masyarakat agar pelepasan tahanan di rumah itu dilaksanakan secara tegas mengikut syarat-syarat yang dikenakan.

“Kepada rakyat Malaysia yang mempunyai rasa mendalam mengenai penyelewengan 1MDB dan rentetan isu akibat skandal itu, saya berharap kita sama-sama sedar bahawa tanggungjawab menjaga amanah rakyat itu adalah satu kerja berterusan yang tidak akan berhenti.

“Menjadi tanggungjawab kita untuk terus mendidik golongan muda mengenai apa yang berlaku dan peri penting usaha berterusan membudayakan pentadbiran negara dengan integriti.

“Kepada Datuk Seri Najib, keluarga dan penyokong mereka, saya berharap mereka memahami bahawa luka dari skandal 1MDB ini adalah dalam bagi kebanyakan rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Rafizi berkata sementara beliau berlapang dada dengan keputusan yang telah dibuat, sebaik-baiknya proses tahanan di rumah itu berjalan dengan senyap untuk tidak mengundang pelbagai reaksi yang lain.