Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ramai Ingat Selsema Biasa, Rupanya Influenza — Ini 7 Simptom Awal Yang Tak Patut Diabaikan
Ramai dalam kalangan kita sering mengambil mudah apabila mengalami simptom seperti demam, batuk atau selesema ringan.
“Ah, ini cuma selsema biasa,” kata hati kecil sambil menyangka ia akan pulih dengan sendiri dalam beberapa hari. Namun hakikatnya, tidak semua selsema adalah selsema biasa.
Dalam banyak kes, simptom-simptom tersebut sebenarnya berpunca daripada jangkitan influenza. Iaitu sejenis penyakit pernafasan akut yang boleh menyerang dengan pantas dan membawa kepada komplikasi serius jika tidak ditangani awal.
Influenza bukan sekadar menyebabkan rasa tidak selesa. Iajuga boleh menjejaskan keupayaan untuk bekerja, belajar, berehat dan menikmati kehidupan harian.
Lebih membimbangkan, kes influenza kini semakin meningkat dari semasa ke semasa terutamanya apabila cuaca tidak menentu dan ramai menghabiskan masa di ruang tertutup seperti pejabat, pusat beli-belah atau sekolah.
Situasi ini menjadikan virus influenza lebih mudah menular dan menjangkiti orang sekeliling tanpa disedari. Dalam tempoh singkat, satu kes boleh mencetuskan jangkitan berantai yang melibatkan ahli keluarga, rakan sekerja mahupun komuniti.
Apa yang lebih merisaukan ialah ramai orang tidak menyedari perbezaan antara selsema biasa dan influenza kerana simptom awalnya kelihatan hampir serupa.
Akibatnya, rawatan tertangguh dan virus sempat merebak kepada orang lain. Jadi, penting untuk kita semua lebih peka terhadap tanda-tanda awal penyakit ini.
Berikut ialah tujuh tanda influenza yang kerap disalah anggap sebagai selsema ringan tetapi sebenarnya memberi amaran bahawa tubuh sedang berdepan serangan virus yang jauh lebih serius.
Salah satu tanda paling ketara yang membezakan influenza daripada selsema biasa ialah demam tinggi yang datang secara mengejut. Suhu badan boleh melonjak sehingga 38°C atau lebih dalam tempoh yang sangat singkat.
Kadangkala hanya beberapa jam selepas simptom pertama muncul. Pesakit biasanya akan merasa tubuh panas membara, kepala berdenyut kuat dan badan menjadi sangat lemah.
Dalam situasi tertentu, demam ini datang bersama rasa sejuk mencengkam hingga membuatkan badan menggigil.
Demam tinggi ini bukan sekadar tanda badan panas biasa tetapi isyarat bahawa sistem imun anda sedang bekerja keras untuk melawan pencerobohan virus.
Jika suhu badan tidak turun selepas beberapa hari atau jika ia naik dan turun dengan cepat (intermittent fever), itu petanda anda memerlukan rawatan segera.
Jangan tunggu sehingga suhu badan menjadi terlalu tinggi kerana keadaan ini boleh menyebabkan dehidrasi, tekanan jantung dan mencetuskan komplikasi yang lebih serius.
2. Sakit badan dan sendi yang keterlaluan
Ramai yang keliru antara keletihan akibat aktiviti harian dan sakit badan akibat influenza. Bezanya, sakit badan ketika influenza bukan sekadar lenguh biasa.
Ia boleh terasa seperti seluruh badan diserang dari dalam. Bahagian belakang, pinggang, sendi lutut dan lengan biasanya menjadi kawasan paling terjejas.
Rasa sakit ini boleh jadi tajam, mencengkam atau berdenyut berpanjangan menjadikan pergerakan biasa pun terasa berat dan menyakitkan.
Simptom ini terjadi kerana virus influenza mencetuskan tindak balas keradangan dalam badan. Apabila sistem imun diaktifkan, bahan kimia tertentu dilepaskan untuk melawan virus dan inilah yang menyebabkan otot serta sendi terasa sakit dan lemah.
Bagi sesetengah orang, rasa ini boleh menjadi sangat tidak selesa sehingga mereka tidak mampu bangun dari katil atau melakukan kerja ringan sekalipun.
Jika anda mengalami kesakitan sebegini tanpa sebab jelas, itu tanda anda sedang melawan lebih daripada sekadar selsema.
Keletihan adalah simptom yang sering dipandang remeh namun keletihan akibat influenza sangat berbeza daripada keletihan biasa selepas seharian bekerja.
Ramai pesakit menggambarkan rasa ini seolah-olah seluruh tenaga telah disedut keluar daripada badan. Anda mungkin merasa sukar untuk membuka mata pada waktu pagi, tidak mampu berdiri lama malah berjalan ke bilik air pun terasa seperti satu beban berat.
Keletihan ini berlaku kerana tubuh menggunakan sebahagian besar tenaganya untuk melawan jangkitan virus. Sistem imun yang sedang aktif bekerja menguras tenaga yang sepatutnya digunakan untuk aktiviti harian.
Kadangkala rasa lemah ini boleh berlarutan hingga satu atau dua minggu walaupun demam sudah reda. Jika anda berasa terlalu lemah sehingga tidak mampu melakukan perkara rutin contohnya memasak, memandu atau bekerja itu tanda influenza yang tidak boleh diabaikan.
4. Batuk kering dan sakit tekak
Antara lain, selsema biasa biasanya menyebabkan batuk ringan dan berkahak tetapi influenza memberikan kesan sebaliknya.
Ia akan menyebabkan batuk kering yang berpanjangan, menyakitkan dada dan membuatkan tekak terasa perit setiap kali anda cuba bercakap atau menelan.
Ia selalunya datang secara tiba-tiba dan boleh bertambah teruk pada waktu malam mengganggu tidur serta menyebabkan dada terasa ketat.
Batuk ini bukan sekadar simptom kecil. Ia menunjukkan saluran pernafasan anda sedang meradang akibat jangkitan.
Dalam kes yang lebih serius, batuk influenza boleh menjadi tanda awal kepada komplikasi seperti radang paru-paru. Jika batuk kering disertai sesak nafas, dada sakit ketika menarik nafas dalam, atau kahak berdarah, itu petanda anda perlu mendapatkan rawatan segera dan bukan lagi bergantung kepada ubat batuk biasa.
Ramai yang menganggap hidung tersumbat hanyalah gejala ringan padahal dalam kes influenza, ia boleh menjadi lebih menyakitkan dan menyusahkan daripada yang disangka.
Saluran sinus akan membengkak, menghasilkan lendir berlebihan dan menyebabkan rasa berat pada muka, sakit di sekitar mata dan dahi.
Anda juga akan mengalami kesukaran untuk bernafas melalui hidung serta anda juga mungkin perasan bahawa suara menjadi sengau dan tidur menjadi tidak lena kerana hidung yang tersumbat sepenuhnya.
Selain itu, tekanan sinus yang meningkat boleh mencetuskan sakit kepala yang kuat dan berdenyut. Sesetengah pesakit juga mengalami kehilangan deria bau dan rasa buat sementara waktu.
Walaupun simptom ini kelihatan ringan, ia boleh menyebabkan ketidakselesaan melampau dan menjejaskan aktiviti harian. Perbezaan ketara dengan selsema biasa ialah simptom ini biasanya lebih lama dan lebih intensif.
6. Sakit kepala yang kuat dan berdenyut
Sakit kepala akibat influenza selalunya muncul bersama demam dan tekanan sinus. Namun ia bukan sakit kepala ringan yang boleh hilang dengan minum air atau tidur sebentar.
Rasa sakitnya boleh datang dalam bentuk denyutan kuat di bahagian dahi, pelipis atau belakang mata seperti ada sesuatu sedang menekan kepala dari dalam. Kadangkala ia disertai pening, silau terhadap cahaya terang dan rasa mual.
Sakit kepala jenis ini bukan sahaja menyakitkan tetapi boleh menyebabkan anda hilang fokus dan tidak mampu bekerja atau belajar.
Ia juga menjadi lebih teruk apabila demam naik atau apabila anda batuk dan bersin. Jika sakit kepala berpanjangan disertai simptom influenza lain, ini adalah petanda jelas bahawa anda bukan sekadar mengalami selsema ringan.
Simptom ini sering dipandang remeh sedangkan ia sangat tipikal bagi pesakit influenza. Ramai yang akan mengalami episod di mana badan berasa sangat sejuk dan menggigil walaupun berada dalam bilik bersuhu normal.
Tidak lama selepas itu, peluh dingin akan keluar dari seluruh badan terutama pada waktu malam. Fenomena ini berlaku apabila suhu badan naik dan turun dengan cepat sebagai tindak balas terhadap jangkitan.
Bagi sesetengah orang, simptom ini boleh menyebabkan gangguan tidur yang teruk. Selimut tebal sekalipun tidak cukup untuk memberikan rasa selesa manakala peluh berlebihan membuatkan badan terasa lekit dan tidak selesa.
Ia mungkin kelihatan seperti tanda demam biasa tetapi bila ia berulang dan datang bersama gejala lain. Ini merupakan petanda sistem imun sedang bekerja keras menentang virus influenza.
Tahap bahaya dan risiko komplikasi influenza
Walaupun ramai menganggap influenza sekadar penyakit musiman, realitinya ia boleh membawa kepada komplikasi serius jika diabaikan.
Jangkitan ini boleh menyebabkan radang paru-paru, jangkitan telinga dan sinusitis. Dalam kes yang lebih teruk, ia juga boleh mengakibatkan kegagalan organ atau kematian, terutamanya bagi mereka yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak kecil, warga emas, wanita mengandung serta individu dengan penyakit kronik.
Virus influenza juga sangat mudah menular. Ia boleh merebak melalui titisan udara apabila seseorang batuk, bersin atau sekadar bercakap.
Dalam persekitaran tertutup seperti pejabat, sekolah atau pengangkutan awam, satu individu berjangkit boleh menyebarkan virus kepada ramai orang lain dalam masa singkat.
Oleh sebab itu, rawatan awal dan langkah pencegahan sangat penting untuk mengelakkan penyebaran wabak.
Ramai pesakit menunggu sehingga simptom menjadi teruk sebelum mendapatkan rawatan dan inilah kesilapan yang sering berlaku.
Jika demam berlarutan lebih tiga hari, batuk semakin kuat, pernafasan menjadi sukar atau keletihan terasa luar biasa, anda perlu segera mendapatkan pemeriksaan perubatan.
Bagi golongan berisiko tinggi seperti warga emas, ibu mengandung dan mereka yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis atau darah tinggi, influenza boleh menjadi sangat berbahaya.
Mendapatkan rawatan awal boleh membezakan antara pemulihan cepat dan keadaan yang meruncing.
Kesimpulannya, influenza bukanlah sekadar selsema biasa. Ia adalah jangkitan virus yang serius yang boleh menyebabkan komplikasi teruk dan mudah menular kepada orang lain.
Dengan memahami perbezaan simptomnya, anda dapat bertindak lebih pantas untuk melindungi diri dan keluarga.
Jangan ambil mudah tanda-tanda influenza ini. Jika badan anda memberi isyarat bahawa ada sesuatu yang tidak kena, dengarlah.
Dapatkan rawatan perubatan, rehat secukupnya dan pastikan langkah pencegahan seperti vaksinasi serta etika kebersihan dipraktikkan.
Kesedaran awal bukan sahaja mempercepatkan pemulihan anda malah boleh menyelamatkan nyawa orang lain juga.
BACA : Semakin Canggih: Kenali 7 Jenis Scam Ini Elak Jadi Mangsa
Sumber :
mayoclinic
,
clevelandclinic