Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Rangka Manusia Ditemukan Disimen Dalam Tong Di Alor Gajah

rangka manusia
Kredit: Bernama

ALOR GAJAH, 13 Sept (Bernama) -- Sebuah tong dipercayai berisi rangka manusia ditemukan di kawasan cerun berhampiran Kolam Takungan Air Machap, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ahmad Abu Bakar berkata tong berwarna biru berkenaan ditemukan tiga individu berusia 25 hingga 35 tahun ketika memancing di kolam takungan tersebut kira-kira 11.40 pagi.

“Curiga dengan penemuan tong tersebut, kumpulan pemancing berkenaan memotong sedikit bahagian atas tong berkenaan sebelum menemukan tulang yang disimen di dalam tong tersebut.

“Kumpulan pemancing tersebut kemudiannya membuat laporan polis dan pihak kami tiba di lokasi kira-kira 12 tengah hari,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Ahmad berkata siasatan awal mendapati rangka berkenaan telah mereput dan dianggarkan sudah melebihi tiga minggu.

Beliau berkata pihaknya kemudian memohon bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka untuk mengangkat tong berkenaan yang berada di dalam cerun di pinggir jalan tersebut.

“Rangka tersebut dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengenal pasti jantina serta identiti mangsa tersebut.

“Saya memohon jika ada pihak yang kehilangan anggota keluarga agar tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Ahmad berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan memohon orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkan kepada balai polis terdekat.


Sumber:BERNAMA