Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Rapid KL memperkenalkan Rapid Bulanan digital, iaitu pas perjalanan tanpa had yang kini boleh dibeli dan diaktifkan menerusi aplikasi TNG eWallet.
Menerusi satu kenyataan di Facebook, Rapid KL berkata inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Rapid KL dalam mentransformasi pendigitalan perkhidmatan pengangkutan awam selaras dengan aspirasi negara ke arah ekosistem mobiliti yang lebih pintar, cekap dan berteraskan pembayaran tanpa tunai.
Bukan itu sahaja, kemudahan baharu ini juga membolehkan pengguna untuk terus memperbaharui atau mengaktifkan pas bulanan mereka tanpa perlu beratur di kaunter.
"Rapid Bulanan merupakan pas perjalanan bulanan yang menawarkan perjalanan tanpa had selama 30 hari berturut-turut merentasi keseluruhan rangkaian perkhidmatan Rapid KL.
"Berbeza dengan Pas My50 yang ditawarkan khusus kepada warganegara Malaysia, Rapid Bulanan terbuka kepada semua pengguna termasuk bukan warganegara, sekali gus menyediakan pilihan perjalanan yang lebih fleksibel dan menjimatkan untuk pelbagai kategori penumpang," tambah kenyataan itu.
Tambah Rapid KL lagi, dengan pas ini, pengguna boleh boleh menikmati perjalanan tanpa had merentasi rangkaian merangkumi LRT, MRT, Monorel, BRT Sunway, bas Rapid KL dan bas perantara MRT.
Untuk makluman, Rapid Bulanan ditawarkan pada harga RM150 bagi tempoh sah laku selama 30 hari berturut-turut, sekali gus memberikan penjimatan yang lebih besar kepada pengguna yang kerap menggunakan pengangkutan awam.
"Pelaksanaan Rapid Bulanan digital akan meningkatkan akses kepada pengangkutan awam, mengurangkan kebergantungan kepada urusan fizikal di stesen serta menggalakkan lebih ramai pengguna beralih kepada pengangkutan awam sebagai mod perjalanan harian," tambah Rapid KL.
Sebagai syarat penggunaan, pengguna hanya perlu memastikan telefon pintar mereka menyokong fungsi Near Field Communication (NFC) serta mempunyai aplikasi TNG eWallet yang telah dikemas kini kepada versi terkini.
Bagi pengguna yang masih memilih kaedah konvensional, pembelian pas secara fizikal di kaunter stesen Rapid KL masih terus disediakan.
"Prasarana akan terus memperkenalkan pelbagai inisiatif digital dan inovasi perkhidmatan bagi memastikan pengalaman perjalanan yang lebih mudah, selamat dan mesra pengguna, seiring usaha memperkukuh sistem pengangkutan awam negara," kata kenyataan itu lagi.
Sebelum anda aktifkan kad TNG anda melalui aplikasi TNG eWalle, pastikan telefon anda mempunyai Near Field Communication (NFC).
Buka aplikasi Touch 'n Go eWallet dan pastikan ia telah dikemas kini ke versi terbaharu.
Seterusnya, pergi ke bahagian Transport dan skrol ke bawah dan klik pada pilihan Rapid KL Pass.


Kemudian, pilih pas perjalanan yang anda mahukan (My50, Rapid Kota, Rapid Kembara, Rapid Bulanan).

Pilih kad TNG anda dan imbas kad tersebut di belakang telefon bimbit anda.

Bayar dan selesai