Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pendedahan laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH) yang dijangka diumumkan kerajaan dalam masa terdekat disifatkan sebagai detik penting bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi itu.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, laporan berkenaan diharap menjadi noktah kepada episod hitam yang pernah melanda TH, selain membuka lembaran baharu ke arah institusi yang lebih telus, berintegriti dan mengutamakan kepentingan umat Islam.
Menurut beliau, amanah yang dipikul TH perlu dipelihara dan dipulihkan kerana ia melibatkan kepercayaan jutaan pendeposit serta tanggungjawab kepada generasi akan datang.
"Atas sebab itulah Kerajaan MADANI memilih jalan yang sukar iaitu mendedahkan kebenaran.
"Ada pihak yang lebih selesa jika kisah ini terus tersimpan. Ada yang berharap rakyat melupakan episod hitam ini.
"Tetapi, kita mesti berani mengaku bahawa kesilapan dan ketelanjuran telah pun berlaku. Oleh itu, tugas kita sekarang memastikan mereka yang bertanggungjawab, dipertanggungjawabkan," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Semalam, media melaporkan kerajaan bersedia mendedahkan laporan akhir RCI berhubung TH dalam masa terdekat bagi membolehkan rakyat mengetahui hasil siasatan terhadap dakwaan penjualan aset strategik agensi itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan beliau akan meneliti keputusan untuk menerbitkan laporan tersebut bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Mengulas lanjut, Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan berkata, pendedahan laporan itu penting supaya rakyat mengetahui bagaimana sebuah institusi yang diamanahkan oleh umat Islam boleh terpalit dengan pelbagai isu sehingga memerlukan siasatan di peringkat tertinggi.
Beliau berkata, setiap simpanan di Tabung Haji bukan sekadar angka, sebaliknya hasil titik peluh rakyat yang bekerja keras demi menunaikan ibadah haji.
"Setiap wang ringgit yang disimpan dalam akaun Tabung Haji adalah hasil menoreh getah, mengusahakan bendang dan kebun, memandu teksi dari pagi hingga malam, berniaga kecil-kecilan di kampung dan wilayah FELDA serta pelbagai pekerjaan lain.
"Impian mereka hanya satu, iaitu menjadi tetamu Allah SWT," ujarnya.
Tambah beliau, sebarang kegagalan menjaga amanah sebesar itu bukan sahaja menjejaskan imej institusi, malah mengkhianati harapan jutaan umat Islam yang menyimpan secara konsisten selama bertahun-tahun bagi menyempurnakan Rukun Islam kelima.
"Apabila amanah sebesar ini diperlakukan dengan cuai, yang dikhianati bukan sekadar imej institusi.
"Tetapi juga harapan jutaan umat Islam yang menyimpan dengan sabar dan tekun bertahun-tahun bagi menyempurnakan Rukun Islam kelima," katanya.