Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Rebut Peluang Skim Biaya Ramadan dan Perniagaan Rakyat (BARAKAT) 2026
Bagi usahawan kecil dan mikro, modal perniagaan sering menjadi cabaran utama terutamanya ketika musim perayaan seperti bulan Ramadan dan Aidilfitri di mana permintaan meningkat secara mendadak.
Kesukaran ini kadangkala menghadkan peluang mereka untuk menambah stok, meningkatkan jualan atau memanfaatkan musim perayaan sepenuhnya.
Menyedari hal ini, kerajaan melalui TEKUN Nasional telah memperkenalkan satu inisiatif khas.
Skim ini direka untuk membantu golongan usahawan supaya dapat menjalankan perniagaan dengan lebih tersusun, efisien dan berdaya maju.
Skim ini dikenali sebagai Skim Biaya Ramadan dan Perniagaan Rakyat (BARAKAT) yang menawarkan pembiayaan modal bagi membantu usahawan memenuhi keperluan perniagaan sepanjang Ramadan.
Melalui skim ini, para peniaga tidak hanya mendapat sokongan kewangan malah diberi peluang untuk merancang perniagaan dengan lebih strategik.
Ia juga membantu mereka meningkatkan daya saing dan memaksimumkan potensi keuntungan semasa musim perayaan.
BARAKAT menjadi platform penting bagi mereka yang ingin mengembangkan perniagaan secara mampan walaupun pada skala kecil.
Skim BARAKAT adalah program pembiayaan yang diperkenalkan khusus untuk menyokong usahawan kecil dan mikro di Malaysia terutamanya sepanjang bulan Ramadan dan Aidilfitri.
Skim ini menyediakan modal tambahan bagi memastikan perniagaan dapat beroperasi dengan lancar.
Ia juga membantu usahawan menghadapi permintaan tinggi pada musim perayaan dan meningkatkan potensi keuntungan.
Selain itu, skim ini turut memberi peluang kepada usahawan baru yang ingin memulakan perniagaan walaupun mereka belum mempunyai lesen rasmi atau pendaftaran SSM.
Skim BARAKAT menawarkan jumlah pembiayaan yang fleksibel mengikut status perniagaan.
Bagi usahawan yang belum memiliki lesen atau pendaftaran rasmi dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), modal pembiayaan ditawarkan dari RM1,000 hingga RM5,000.
Bagi mereka yang mempunyai lesen atau pendaftaran rasmi, pembiayaan boleh mencecah sehingga RM30,000.
Jumlah ini membolehkan perniagaan berkembang dengan lebih signifikan.
Tempoh pembiayaan pula fleksibel. Tempoh pembiayaan adalah dari 1 bulan hingga 12 bulan. Ia membolehkan usahawan mengurus aliran tunai mengikut keperluan perniagaan sepanjang Ramadan.
Kadar keuntungan ditetapkan pada 3% setahun, menjadikannya sangat kompetitif dan mesra usahawan.
Untuk memastikan pembiayaan diberikan kepada mereka yang benar-benar layak dan berpotensi, beberapa syarat kelayakan ditetapkan:
Status warganegara: Pemohon mesti Bumiputera dan warganegara Malaysia.
Umur pemohon: 18 hingga 65 tahun. Tempoh pembiayaan tidak melebihi umur 65 tahun.
Status kewangan: Pemohon bukan muflis dan mempunyai kedudukan kewangan yang stabil.
Hak milik perniagaan: Syarikat atau perniagaan mesti 100% dimiliki Bumiputera dan warganegara Malaysia.
Lesen atau pendaftaran perniagaan: Pemohon mestilah mempunyai lesen, permitatau pendaftaran perniagaan SSM yang sah dan masih aktif.
Lokasi perniagaan: Aktiviti perniagaan boleh dijalankan di premis tetap, secara bergerak (mobile) atau dalam talian (online).
Penglibatan pemohon: Pemohon mesti terlibat secara langsung atau separuh masa dalam perniagaan.
Bilangan pembiayaan: Satu pembiayaan bagi satu isi rumah. Kecuali jika pemohon mempunyai perniagaan berasingan dengan pendaftaran berbeza.
Had modal berbayar: Jumlah modal berbayar tidak melebihi RM300,000.
Pembelian aset besar: Bagi pembelian kenderaan komersial atau jentera berat, jumlah pembiayaan dibenarkan hanya 10% daripada harga aset. Ianya tertakluk kepada aliran tunai dan kewangan pemohon.
Perkongsian atau Syarikat Sendirian Berhad:
Bagi pemilikan perkongsian, perlu surat kebenaran rakan kongsi.
Bagi pemilik Sdn. Bhd, perlu menyediakan Resolusi Syarikat mengikut format yang disediakan.
Pematuhan syariah: Aktiviti perniagaan mesti patuh Syariah.
Pemohon baru tanpa perniagaan aktif: Perlu mengemukakan surat tawaran atau permit Bazar Ramadan.
Pemohon hanya perlu menyediakan borang permohonan pembiayaan beserta dokumen sokongan yang relevan:
Salinan Kad Pengenalan pemohon dan pasangan (jika berkenaan). Kedua-dua bahagian depan dan belakang.
Lesen / Permit / Pendaftaran Perniagaan (SSM) yang sah dan belum tamat tempoh.
Gambar perniagaan yang menunjukkan aktiviti perniagaan sedang dijalankan (sekiranya ada).
Penyata bank tiga bulan terkini untuk akaun simpanan atau akaun semasa yang digunakan dalam perniagaan.
Dokumen tambahan (jika berkenaan). Contohnya surat kebenaran rakan kongsi, resolusi syarikat atau permit Bazar Ramadan bagi pemohon baru.
Skim BARAKAT terbuka kepada kedua-dua usahawan sedia ada dan usahawan baru yang memerlukan modal tambahan untuk menyokong aktiviti perniagaan sepanjang bulan Ramadan.
Aktiviti perniagaan yang disasarkan termasuk penjualan makanan dan minuman, jualan pakaian serta aksesori dan juga perniagaan barangan dan kelengkapan yang berkaitan dengan sambutan Aidilfitri.
Dengan adanya pembiayaan ini, para usahawan dapat memastikan stok perniagaan mencukupi untuk memenuhi permintaan tinggi pada musim perayaan.
Selain itu, mereka juga dapat memanfaatkan peluang jualan yang besar dan meningkatkan keuntungan.
Antara lain, skim ini membolehkan mereka merancang perniagaan dengan lebih strategik, memperkukuhkan daya saing di pasaran dan menyumbang secara langsung kepada pembangunan ekonomi rakyat di peringkat mikro.
Secara keseluruhan, Skim BARAKAT bukan sekadar pembiayaan modal. Ia merupakan platform penting untuk membangunkan usahawan mikro.
Ia juga membolehkan mereka beroperasi dengan lebih teratur, menjana pendapatan yang stabil dan menambah nilai kepada ekonomi komuniti.
Dengan pendekatan yang mudah diakses, syarat yang jelas dan kadar keuntungan rendah, inisiatif ini memberi peluang nyata kepada usahawan kecil untuk berkembang secara mampan.
Khususnya pada musim perayaan yang memberi potensi jualan tinggi.