Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Remaja Maut, “Doktor Palsu” Didakwa Buat Pembedahan Ikut Tutorial YouTube
Seorang remaja berusia 15 tahun dilaporkan maut selepas dibedah oleh seorang individu yang menyamar sebagai doktor di sebuah klinik swasta.
Difahamkan, “doktor palsu” itu didakwa telah menjalankan pembedahan ke atas mangsa berpandukan video tutorial dari YouTube.
Menurut UNILAD, mangsa dibawa oleh keluarganya ke klinik di daerah Sarah, Bihar, India itu selepas mengalami sakit perut dan muntah-muntah.
“Anak saya sakit perut, jadi kami membawanya ke klinik tersebut,” ujar bapa kepada mangsa.
Sebaik tiba di klinik tersebut, mangsa telah diberikan ubat dan merasa lebih baik selepasnya.
Bagaimanapun, suspek tetap menegaskan keperluan segera untuk melakukan pembedahan bagi membuang batu karang mangsa.
Sebelum pembedahan, suspek didakwa meminta bapa mangsa untuk pergi ke stesen minyak berdekatan untuk membeli diesel.
Hal ini kerana suspek meminta keluarga bersedia sekiranya mereka perlu membawa remaja itu ke hospital.
Akan tetapi, dalam tempoh tersebut, suspek dikatakan memulakan pembedahan tanpa kebenaran keluarga mangsa.
“Semasa pembedahan, saya melihat dia kerap melihat YouTube di telefonnya untuk mendapatkan arahan.
“Kami hanya mahu muntahnya berhenti. Dia menjalankan pembedahan tanpa persetujuan kami,” ujar bapa mangsa.
Apabila keadaan mangsa bertambah buruk semasa pembedahan, bapa mangsa mendakwa suspek cuba untuk membawa mangsa ke hospital lain.
Bagaimanapun, malangnya, mangsa meninggal dunia semasa dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan.
Ini menyebabkan bapa mangsa percaya bahawa kematian anaknya berpunca daripada pembedahan tidak sempurna yang dijalankan suspek.
Keluarga mangsa turut meragui kelayakan suspek sebagai doktor, selain percaya bahawa suspek adalah “doktor palsu”.
Kes ini telah menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pesakit di India.
Setiausaha negeri Persatuan Perubatan India, Dr Santosh Kumar Singh, menyifatkan insiden ini sangat menyedihkan.
Beliau juga menegaskan bahawa tindakan harus diambil terhadap suspek yang menyamar sebagai doktor.
Sementera itu, Timbalan Superintenden Polis (DSP) Isha Gupta memaklumkan bahawa kertas siasatan kes telah dibuka bagi tindakan lanjut.
Polis juga kini sedang giat menjalankan serbuan untuk menangkap suspek.
BACA: Bayi Lelaki 30 Hari Meninggal Dunia Selepas Diberi Susu Di Pusat Jagaan Berpantang
BACA: Dipercayai Meninggal 4 Tahun Lalu, Rangka Warga Emas Ditemui Dalam Rumah
BACA: Nahas Babit Tiga Kenderaan: Pelajar Kolej Vokasional Maut Digilis Kenderaan Berat
Sumber: UNILAD