Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Rempuh Pegawai JPJ, Penunggang Motor Didenda RM5,000

Iqbal Yasir
penunggang didenda rm5000
Gambar: Sinar Harian

Rempuh Pegawai JPJ, Penunggang Motor Didenda RM5,000

PORT DICKSON — Seorang penunggang motosikal didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas bertindak merempuh pegawai penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika sekatan jalan raya (SJR) pada Ahad lalu, lapor Sinar Harian.

Tertuduh, 25, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani sebelum dijatuhkan hukuman tersebut.

Jika gagal membuat bayaran, Mahkamah memerintahkan hukuman penjara tiga bulan dijalankan terhadap tertuduh.

Dalam pertuduhan yang dibacakan, tertuduh dengan sengaja menghalang tugas seorang penjawat awam iaitu, anggota penguatkuasa JPJ, Mohd Nurhakim Mohd Razif, 29, dari melakukan tugasan amnya.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di Kilometer 28 Lebuhraya Seremban-Port Dickson pada 17 september 2023, sekitar jam 11 pagi.

Susulan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda boleh sampai RM10,000 atau kedua-duanya.

Pada mulanya, tertuduh yang tidak diwakili oleh peguam merayu agar hukuman denda diringankan berikutan menyara seorang anak dan isteri yang sedang mengandung serta baru diberhentikan kerja sebagai pegawai keselamatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Izzaty Mohd Zainal memohon hukuman setimpal dijatuhkan agar memberikan pengajaran kepada tertuduh serta orang awam supaya tidak menghalang tugas penjawat awam.

Maklumnya, perkara itu mengambil kira kecederaan yang dialami oleh anggota JPJ berkenaan.

BACA JUGA: Penunggang Motosikal Rempuh Anggota JPJ Ada Dua Senarai Hitam Aktif

Terdahulu, tular klip seorang pegawai penguatkuasa JPJ dirempuh oleh suspek sehingga terpelanting selepas dipercayai cuba meloloskan diri daripada sekatan jalan raya.

JPJ dalam satu kenyataan berkata, anggotanya difahamkan mengalami cedera pada otot leher, kepala serta bengkak pada tangan dan kaki dalam kejadian tersebut.

Mangsa bagaimanapun dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Hospital Port Dickson.

“Hasil pemeriksaan x-ray dijalankan, pihak hospital mengesahkan kecederaan yang dialaminya tidak serius dan dibenarkan pulang sebaik selesai menjalani rawatan,” katanya.

Hasil siasatan Bahagian Penguatkuasa JPJ Negeri Sembilan mendapati, suspek mempunyai dua rekod kesalahan yang masih aktif dan tindakan diambil mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Kesalahan yang dilakukan adalah lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh pada 18 Julai 2012 dan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 23 (1) APJ 1987 serta tiada perlindungan insurans (Seksyen 90 (1) APJ 1987.

“Selain itu, dia turut disenarai hitam atas kesalahan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) mengikut Seksyen 6 (1) APJ 1987 serta tindakan sita mengikut Seksyen 64(1) APJ 1987,” maklum kenyataan tersebut.

Sumber: Sinar Harian