Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

RM15 Bilion Sokong Penskalaan 10,000 PMKS, Eksport Dan Pendigitalan Pacu Pertumbuhan

PMKS

YB Encik Steven Sim Chee Keong, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (tengah) bersama peserta Persidangan Eksport Enterprise 50 (E50) anjuran SME Corp. Malaysia. Turut kelihatan dalam gambar ialah YBhg. Datuk Saidatu Akhma Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP; YBrs. Encik Rizal bin Dato’ Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia; YBhg. Tan Sri Datuk Dr. Rebecca Fatima Sta Maria, bekas Pengarah Eksekutif APEC dan Tuan Zarif Kholmurodov, Timbalan Pengerusi EDC.

KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah memperkenalkan inisiatif PowerUp 10k dengan peruntukan pembiayaan sehingga RM15 bilion bagi menyokong peningkatan skala 10,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Encik Steven Sim Chee Keong, menekankan bahawa agenda penskalaan PMKS merupakan antara keutamaan KUSKOP pada tahun ini ketika merasmikan Persidangan Eksport Enterprise 50 (E50) anjuran SME Corp. Malaysia, sebuah agensi di bawah KUSKOP, hari ini.

Persidangan Eksport E50 yang dianjurkan buat julung kalinya bersempena dengan Program Anugerah E50 tahun ini menyediakan platform kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutamanya syarikat yang tercalon untuk Anugerah E50 dan Alumni E50, bagi mengembangkan pasaran ke peringkat antarabangsa. Persidangan ini juga merupakan salah satu manfaat kepada calon pemenang anugerah menjelang acara kemuncak, iaitu Majlis Anugerah E50 pada malam esok.

Menurut YB Encik Steven Sim, Kerajaan terus menggiatkan usaha untuk memperhebatkan perniagaan Malaysia terutamanya melalui Belanjawan 2027 diumumkan YAB Perdana Menteri, yang menjadikan tahun 2027 sebagai Tahun PMKS Malaysia.

Belanjawan 2027 menyediakan sokongan menyeluruh berjumlah RM67.9 bilion melalui akses kepada pembiayaan dan skim jaminan, pengembangan akses pasaran, pembangunan modal insan, serta pendigitalan dan automasi. Bidang tumpuan utama termasuk RM32 bilion dalam jaminan pembiayaan yang disediakan oleh SJPP dan CGC, dan RM1.06 bilion khusus untuk pengembangan ke pasaran antarabangsa. Selain itu, RM3.3 bilion diperuntukkan untuk menggalakkan peningkatan kemahiran, manakala RM223 juta diperuntukkan untuk penerapan digital, termasuk AI dan automasi perniagaan.

Sementara itu, YBrs. Encik Rizal bin Dato’ Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia merangkap Pengerusi Penganjuran Program E50, berkata, “Pada tahun ini, sebanyak 66 program pembangunan yang memberikan tumpuan kepada akses pasaran telah dilaksanakan dengan jumlah peruntukan RM293.98 juta, termasuk PKS@kses di bawah SME Corp. Malaysia. Inisiatif ini menyediakan sokongan pembiayaan dan pembinaan kapasiti untuk mengukuhkan keupayaan PKS, membolehkan mereka meluaskan jangkauan pasaran, meningkatkan kesediaan eksport dan memperoleh akses yang lebih luas kepada pasaran domestik dan eksport.”

Semasa majlis perasmian, YB Encik Steven Sim turut menyaksikan pertukaran tiga (3) Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan pembangunan PMKS antara SME Corp. Malaysia dengan Entrepreneurship Development Company (EDC) Uzbekistan, LAZADA Malaysia dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Selain eksport, pendigitalan juga menjadi bidang tumpuan dalam penskalaan PMKS. Pada 14 Oktober 2026, SME Corp. Malaysia telah menganjurkan Seminar Peningkatan Skala Digital dan AI untuk PKS di bawah Program PRESTIGE 2.0: Global Value Chain (GVC). Seminar bertemakan “Tech Up, Scale Up” itu bermatlamat untuk meningkatkan skala perniagaan PKS melalui penerapan pendigitalan, automasi dan teknologi. Seminar tersebut telah memberikan manfaat kepada kira-kira 300 PKS, terutamanya dalam sektor pertumbuhan dan bernilai tinggi (High Growth, High Value –HGHV).

Persidangan Eksport E50 yang dihadiri oleh hampir 300 peserta daripada syarikat PKS menampilkan penceramah terkemuka seperti YBhg. Tan Sri Datuk Dr. Rebecca Fatima Sta Maria, bekas Pengarah Eksekutif Sekretariat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), serta ahli panel daripada agensi berkaitan eksport, iaitu Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Persidangan ini memberikan pendedahan dan pengetahuan tentang trend pasaran, peraturan dan kesediaan eksport, di samping memperluas jaringan perniagaan untuk menembusi pasaran global.

Turut hadir pada majlis perasmian ialah YBhg. Datuk Saidatu Akhma Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP; YBrs. Encik Rizal bin Dato’ Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia; YBhg. Tan Sri Datuk Dr. Rebecca Fatima Sta Maria, bekas Pengarah Eksekutif APEC; dan Tuan Zarif Kholmurodov, Timbalan Pengerusi EDC.

Hebatkan Perniagaan Malaysia!