Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM5 juta melalui Program Usahawan Makmur bagi membantu memperkasa golongan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), termasuk meningkatkan kapasiti perniagaan serta daya saing produk tempatan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif itu turut memberi tumpuan kepada aspek peningkatan kualiti produk, penjenamaan, pembungkusan, reka bentuk serta penampilan produk supaya usahawan tempatan mampu menembusi pasaran lebih luas.
Katanya, beliau sebelum itu menyerahkan Geran Usahawan Makmur dan Transformasi Produk Usahawan di bawah SIRIM Technopreneur Enterprise Program (STEP) Siri 1 Tahun 2026 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Majlis Perbandaran Bentong.
“Program ini merupakan satu inisiatif yang amat baik dalam memperkasa golongan PMKS di Negeri Pahang.
“Sokongan yang diberikan bukan sekadar dari aspek kewangan, malah turut membantu usahawan meningkatkan kualiti produk, penjenamaan, pembungkusan, reka bentuk serta penampilan produk agar lebih berdaya saing dan mampu menembusi pasaran yang lebih luas,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook semalam.
Menurut Wan Rosdy, sebanyak RM1.5 juta daripada peruntukan Program Usahawan Makmur disediakan bagi penyerahan Geran Usahawan Makmur untuk membantu usahawan mengembangkan perniagaan, meningkatkan kapasiti pengeluaran dan memperluaskan pasaran.
Jelasnya, bagi Siri 1, seramai 101 usahawan PMKS menerima Geran Usahawan Makmur berjumlah RM416,000, manakala 42 peserta STEP menerima bantuan berjumlah RM500,000.
Beliau berkata, bantuan dan bimbingan berkenaan amat penting memandangkan kebanyakan usahawan PMKS bermula secara kecil-kecilan dengan modal serta sumber yang terhad.
“Melalui bantuan, bimbingan dan akses kepada kepakaran yang disediakan, mereka berpeluang untuk menaik taraf perniagaan, memperkukuh operasi, memperkemas strategi pemasaran dan membawa produk tempatan ke pasaran yang lebih besar,” ujarnya.
Tambahnya, kerajaan negeri mahu lebih ramai usahawan Pahang berkembang daripada perniagaan kecil kepada perusahaan yang kukuh, sekali gus mampu meningkatkan pendapatan, mewujudkan peluang pekerjaan dan menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negeri.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan kepada golongan usahawan menerusi kerjasama agensi kerajaan serta pihak berkaitan.
“Insya-Allah, dengan kesungguhan para usahawan, sokongan berterusan Kerajaan Negeri, agensi-agensi kerajaan serta kerjasama semua pihak, kita mampu melahirkan lebih ramai usahawan PMKS Pahang yang berdaya tahan, berdaya saing dan berjaya di peringkat negeri, nasional mahupun antarabangsa,” jelasnya.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan