Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Ronaldo Tandatangan Kontrak Baharu, Termahal Dalam Sejarah
RIYADH — Bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo, sekali lagi mencatat sejarah apabila menandatangani kontrak baharu bersama kelab Arab Saudi, Al-Nassr, menjadikan perjanjian termahal dalam sejarah sukan itu lapor The Sun.
Difahamkan, kontrak dua tahun itu dianggarkan bernilai £492 juta (kira-kira RM2.86 bilion), dengan gaji asas £488,000 (RM2.83 juta) sehari. Perjanjian tersebut juga menyaksikan Ronaldo kekal di Al-Nassr sehingga usia 42 tahun.
Menurut laporan SunSport, selain gaji tahunan sebanyak £178 juta, Ronaldo, 40, turut menerima bonus tandatangan bernilai £24.5 juta, yang boleh meningkat kepada £38 juta jika beliau mengaktifkan tahun kedua kontraknya.
Ronaldo turut diberikan 15 peratus pegangan saham dalam kelab, dianggarkan bernilai £33 juta, serta pelbagai insentif lain termasuk bonus £4 juta jika memenangi anugerah Kasut Emas dan £8 juta jika membantu Al-Nassr menjuarai liga.
Dengan keseluruhan faedah tersebut, jumlah pendapatan Ronaldo dianggarkan mencecah lebih £500 juta menjelang penghujung kontraknya.
Ronaldo dan keluarganya turut menerima kemudahan luar padang yang luar biasa.
Al-Nassr juga menanggung kos sekitar £1.4 juta untuk menggajikan 16 kakitangan peribadi sepenuh masa termasuk tiga pemandu, empat pembantu rumah, dua tukang masak, tiga tukang kebun, dan empat pengawal keselamatan.
Beliau turut diberikan £4 juta bagi penggunaan jet peribadi dan dijanjikan beberapa perjanjian penajaan bersama syarikat Saudi yang dianggarkan bernilai sehingga £60 juta.

Gambar: The Sun

Sementara itu, sumber dalam Liga Pro Saudi memaklumkan bahawa pihak pengurusan liga amat bimbang Ronaldo akan meninggalkan kelab ketika jendela perpindahan baru-baru ini, selepas wujud cubaan untuk memancingnya ke kejohanan Piala Dunia Kelab.
“Dia adalah ikon utama liga ini. Dialah yang menarik perhatian bintang antarabangsa dan sorotan media dunia. Pemilik-pemilik kelab tahu mereka perlu lakukan apa sahaja untuk mengekalkannya,” kata seorang sumber.
“Ronaldo kini memperoleh hampir segala yang dimahukannya. Dengan pegangan saham, gaji luar biasa dan status sebagai duta rasmi, beliau bukan sekadar pemain, tetapi aset utama bola sepak Arab Saudi.”
Pihak pengurusan Al-Nassr dilaporkan mahu mengekalkan Ronaldo bukan sahaja sebagai pemain, tetapi sebagai ikon utama bola sepak Asia Barat, bahkan selepas persaraannya kelak.
“Jika dia pergi, itu akan jadi tamparan besar kepada seluruh liga. Dia adalah permata kami sekarang, dan perlu dijaga pada apa jua kos,” ujar sumber itu lagi.
Ronaldo menyertai Al-Nassr pada penghujung 2022 selepas meninggalkan Manchester United, dan sejak itu menjadi tumpuan utama dalam kempen memperkenalkan Liga Pro Saudi ke pentas dunia.
Sumber: The Sun