Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

RTM, Astro Teruskan Kerjasama Penyiaran

PENYIARAN
Kredit: Facebook RTM

RTM, Astro Teruskan Kerjasama Penyiaran

Rakyat Malaysia akan terus dapat menikmati saluran utama Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) menerusi platform Astro, NJOI dan Sooka selepas kedua-dua pihak bersetuju meneruskan kerjasama penyiaran.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, RTM dan Astro memaklumkan saluran TV1, TV2 dan TV Okey akan kekal tersedia kepada pengguna seperti biasa.

Menurut kenyataan itu, peluasan kandungan RTM termasuk Berita RTM, Sukan+ serta rangkaian saluran radio RTM juga dijangka mula ditawarkan kepada pelanggan Astro dalam masa terdekat.

Katanya, perkembangan itu selaras dengan perubahan landskap media massa yang kini memerlukan pendekatan lebih progresif, inklusif dan berpandangan jauh seiring perkembangan teknologi serta corak penggunaan media yang semakin berubah.

“RTM dan Astro yakin kerjasama yang diperkukuh ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua organisasi.

“Ia sekali gus mampu memperkukuh industri media tempatan dan memperluaskan akses rakyat kepada kandungan berkualiti, dipercayai serta relevan,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, timbul laporan bahawa RTM dijangka menamatkan penyiarannya di platform satelit Astro bermula Julai ini selepas hampir tiga dekad menjalinkan kerjasama.

Menerusi satu pekeliling bertarikh 11 Mei lalu, RTM dilaporkan memaklumkan bahawa rundingan antara kedua-dua pihak sebelum ini berdepan kesukaran untuk mencapai persetujuan berkaitan kadar harga selain kekangan keupayaan kewangan.

Bagaimanapun, perkembangan terbaharu itu mengesahkan kerjasama antara RTM dan Astro akan diteruskan demi kepentingan penonton serta industri penyiaran tempatan.

Sumber:RTM