Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengeluarkan kenyataan berkaitan kaedah penetapan rasmi 1 Syawal yang tular di media sosial baru-baru ini.
Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hajah Hakimah Binti Mohd Yusof pada hari ini berkaitan hal tersebut.
Menurut kenyataan tersebut, beliau maklumkan bahawa di Malaysia telah menggunakan kaedah Rukyah dan Hisab untuk menentukan awal bulan hijri termasuk tarikh awal puasa, Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha sejak dahulu lagi.
“Kaedah ini adalah selaras dengan kehendak syarak dan mengikut kaedah ilmu falak dan astronomi yang telah dipersetujui oleh semua negeri.
“Berkaitan penentuan awal Syawal 1443H atau tarikh Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini, aktiviti cerapan rasmi di seluruh negeri di Malaysia akan dilaksanakan di 29 lokasi pada petang Ahad, 29 Ramadan 1443H bersamaan 1 Mei 2022.
“Aktiviti cerapan anak bulan ini dilakukan oleh Jawatankuasa Melihat Anak Bulan/Rukyah Negeri yang dipengerusikan oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri dan ahlinya terdiri daripada pakar falak, alim ulamak, pegawai falak yang berkemahiran serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia yang dikeluarkan oleh JUPEM,” tulisnya dalam kenyataan itu.
Di samping itu, pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidilfitri akan dilaksanakan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja Raja (PMBRR) selaku pihak berkuasa yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja pada malam tersebut.
Walaupun begitu, ia tetap tertakluk kepada aktiviti cerapan anak bulan di semua 29 lokasi pada tarikh yang telah ditetapkan oleh pihak JAKIM.
Selain itu, pihak JAKIM juga menasihatkan semua pihak supaya menghormati proses penentuan rasmi tarikh Hari Raya Aidilfitri di negara ini yang sudah terlaksana sejak sekian lama dan serahkan tanggungjawab ini kepada pihak berautoriti.
Sumber: Kenyataan media JAKIM
