Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

RUU Ganti AUKU Tidak Sentuh Kebebasan Bersuara Mahasiswa - Ahmad Zahid

auku
Kredit: Facebook Zahid Hamidi

MELAKA, 3 Nov (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) baharu bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang telah dimansuhkan, tidak akan menyentuh aspek kebebasan bersuara golongan mahasiswa, menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata mesyuarat Jemaah Menteri setakat ini senada bahawa undang-undang baharu itu kelak hanya akan melibatkan soal pentadbiran universiti dalam bidang akademik, tatakelola dan juga pemilihan ahli-ahli senat.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata ia juga akan mencakupi pemilihan tenaga pengurusan seperti Naib Canselor, timbalan-timbalan Naib Canselor dan sebagainya.

“Undang-undang baharu itu yang akan diberikan nama lain, tidak lagi akan menjurus kepada apa yang disebutkan sebagai tujuh seksyen berkaitan mahasiswa termasuk aspek kebebasan sebagaimana yang diperuntukkan di dalam AUKU yang hanya menyekat kebebasan mereka dalam beraktiviti,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini cadangan untuk mewujudkan RUU baharu bagi menggantikan AUKU selepas menghadiri Program Apa Khabar Mahasiswa: Patriotisme Diperkasa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Kampus Alor Gajah di sini hari ini.

Program itu turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menyarankan pengurusan universiti agar tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pelajar yang menyuarakan pandangan mereka selagi tidak menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R).

“Memang dalam AUKU dulu ada tindakan diambil oleh pihak universiti, sekarang bila sudah dimansuhkan, mereka masih tertakluk kepada undang-undang yang ada seperti akta jenayah dan sebagainya.

“… kalau hanya berbeza pendapat, pegangan politik dan mereka menyuarakan pandangan anak muda, saya fikir itu harus diraikan, bukan dengan pihak universiti mengambil tindakan perundangan terhadap mereka, kecuali jika ia bertentangan undang-undang negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Perdana Menteri berkata pengambilan bagi kemasukan ke Jabatan Teknologi Kuantum di UiTM dijangka bermula pada semester akan datang dengan konsep training for trainers.

“Pertamanya tenaga pensyarah itu akan dihantar untuk membuat masters (Ijazah Sarjana) atau PhD (doktor falsafah) ataupun kursus pendek agar mereka yang ada latar belakang teknologi maklumat dan digital dapat menjadi peneraju kepada jabatan ini sebelum ia diperkasa sebagai Fakulti Teknologi Kuantum,” katanya.

Awal Oktober lepas, Ahmad Zahid mengumumkan sumbangan berjumlah RM500,000 sebagai modal awal bagi merealisasikan penubuhan Jabatan Teknologi Kuantum di UiTM.

-- BERNAMA

Intipati
  • RUU baharu menggantikan AUKU tidak akan menyentuh kebebasan bersuara mahasiswa, kata Ahmad Zahid.
  • Undang-undang baharu itu akan tertumpu pada pentadbiran universiti, akademik, tatakelola dan pemilihan senat.
  • Pengambilan Jabatan Teknologi Kuantum UiTM dijangka bermula semester hadapan secara training for trainers.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan