Pernah terfikir untuk makan biskut yang diperbuat daripada plastik?
Kedengaran pelik, namun sekumpulan penyelidik di Amerika Syarikat (AS) kini berjaya menghasilkan biskut berasaskan bahan buangan plastik dan sisa tumbuhan menerusi teknologi mikrob yang dibangunkan untuk projek penerokaan angkasa lepas.
Biskut itu dikenali sebagai µBites, atau disebut microbites, dan dibangunkan oleh penyelidik dari Southern Illinois University (SIU) Carbondale menerusi projek yang mendapat pembiayaan daripada cabaran makanan angkasa lepas NASA.
Menariknya, teknologi berkenaan bukan sekadar berpotensi menghasilkan makanan untuk angkasawan, malah boleh digunakan di kawasan bencana, kapal selam dan lokasi terpencil yang mempunyai sumber makanan terhad.
Plastik dipecahkan, kemudian 'ditukar' menjadi makanan
Menurut penyelidik, proses menghasilkan µBites tidak melibatkan penggunaan terus botol plastik sebagai bahan dalam adunan biskut.
Sebaliknya, plastik jenis polyethylene terephthalate (PET), yang biasa digunakan untuk menghasilkan botol minuman, bersama-sama sisa pertanian seperti batang dan daun jagung terlebih dahulu diuraikan menerusi proses dikenali sebagai oxidative hydrothermal dissolution.
Proses itu menggunakan air dan oksigen pada suhu serta tekanan tinggi untuk memecahkan bahan berkenaan kepada komponen berasaskan karbon yang lebih mudah digunakan oleh mikroorganisma.
Komponen itu kemudian diberikan kepada yis yang direka bentuk khas.
Yis berkenaan bertindak seperti 'kilang kecil' dengan menukarkan bahan daripada plastik dan sisa tumbuhan kepada pelbagai ramuan makanan, termasuk protein, lemak, vitamin, bahan perisa dan pewarna.
Sebagai contoh, satu jenis yis direka untuk menghasilkan vanillin yang memberikan aroma dan rasa vanila, manakala satu lagi mampu menghasilkan beta-karotena, iaitu pigmen yang boleh ditukarkan tubuh kepada vitamin A.
Bahan-bahan itu kemudiannya dicampurkan untuk membentuk doh sebelum dicetak menggunakan teknologi pencetak makanan 3D dan dimasak sehingga menjadi biskut.

Belum boleh dimakan orang ramai
Bagaimanapun, jangan pula terus membayangkan biskut plastik ini bakal berada di rak pasar raya dalam masa terdekat.
Setakat ini, penyelidik masih menjalankan pelbagai ujian keselamatan sebelum percubaan terhadap manusia dapat dilakukan.
Menurut pasukan penyelidik, produk yang dihasilkan di makmal turut dianalisis bagi memastikan ia bebas daripada bahan kimia toksik, logam berat, alergen dan patogen makanan.
Ujian berkaitan proses pencernaan juga sedang dijalankan sebagai persediaan sebelum ujian terhadap manusia dilaksanakan.
Buat masa ini, belum ada sesi merasa secara rasmi dilakukan. Namun, ujian deria awal mendapati biskut µBites mempunyai aroma yang menyenangkan serta tekstur yang baik.
Bukan sekadar biskut
Lebih menarik, biskut hanyalah projek percubaan atau bukti konsep bagi menunjukkan teknologi berkenaan berpotensi menghasilkan makanan daripada bahan buangan.
Menurut penyelidik, ramuan yang dihasilkan menerusi sistem itu juga boleh digunakan untuk menghasilkan pelbagai produk lain seperti alternatif susu, alternatif daging dan makanan haiwan.
Teknologi berkenaan turut dibayangkan sebagai satu kaedah untuk membantu manusia menghasilkan makanan dalam persekitaran ekstrem, termasuk kawasan bencana, padang pasir, Artik, Antartika dan suatu hari nanti mungkin di Bulan atau Marikh.
Pada masa ini, sistem tersebut mengambil masa kira-kira satu hingga dua hari untuk memproses bahan buangan dan mampu menukarkan lebih 50 peratus kandungan karbon kepada produk makanan.
Pasukan penyelidik bagaimanapun berharap kecekapan sistem itu dapat dipertingkatkan pada masa hadapan sehingga lebih banyak bahan dapat dikitar semula dan digunakan semula.
Jadi, kalau suatu hari nanti manusia tinggal di Marikh, jangan terkejut jika sisa plastik tidak lagi sekadar dibuang.
Sebaliknya, ia mungkin menjadi antara bahan mentah untuk menghasilkan biskut.

