Sambutan Hari Kebangsaan sememangnya antara acara tahunan yang dinantikan ramai.
Bagi yang merancang membawa anak-anak menyaksikan sendiri kemeriahan raptai penuh Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Putrajaya pada 29 Ogos ini, persediaan awal amat penting, terutama bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dan bersesak-sesak mencari lokasi sesuai.
Seorang pengguna Threads, voxtapose.my, turut berkongsi pelbagai tips dan panduan berdasarkan pengalamannya buat mereka yang pertama kali ingin menyaksikan sambutan berkenaan.
Menurut perkongsian itu, orang ramai perlu mengambil kira jadual penuh raptai sebelum merancang perjalanan ke lokasi.
Jadual raptai Hari Kebangsaan 2026
Berikut jadual yang dikongsikan:
Raptai Skeleton: Rabu, 26 Ogos 2026 | 6 pagi hingga 12 tengah hari
Raptai 1: Khamis, 27 Ogos 2026 | 6 pagi hingga 12 tengah hari
Raptai 2: Jumaat, 28 Ogos 2026 | 6 pagi hingga 12 tengah hari
Raptai Penuh: Sabtu, 29 Ogos 2026 | 6 pagi hingga 12 tengah hari
Rehat: Ahad, 30 Ogos 2026
Acara Kemuncak: Isnin, 31 Ogos 2026 | 6 pagi hingga 12 tengah hari
Menurutnya, raptai penuh pada 29 Ogos dijangka menerima kehadiran orang ramai memandangkan ia berlangsung pada hari Sabtu.
Datang awal, elak jalan sesak
Bagi yang datang bersama anak-anak, antara perkara paling penting ialah merancang perjalanan lebih awal.
Seorang pengunjung turut merancang untuk tiba di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau Masjid Besi sekitar jam 5 pagi bagi menunaikan solat Subuh sebelum bergerak ke lokasi menyaksikan raptai.
Perancangan itu dibuat memandangkan beberapa laluan dijangka mula ditutup sekitar jam 6 pagi.
Sambutan Hari Kebangsaan dijadualkan berlangsung di sekitar Persiaran Perdana, dengan pentas utama berhampiran kawasan Istana Kehakiman dan Perbadanan Putrajaya.
Kawasan berkenaan terletak dalam kawasan yang dikenali sebagai Core Island, justeru laluan masuk berpotensi menjadi sesak apabila jumlah kenderaan meningkat.
Menurut perkongsian voxtapose.my, mereka yang ingin mendapatkan lokasi strategik perlu datang lebih awal dan tidak hanya tertumpu di kawasan berhampiran pentas utama.
Persiaran Perdana yang panjang menawarkan beberapa pilihan lokasi untuk menyaksikan perbarisan dalam suasana yang lebih selesa.
Nak tengok perbarisan dekat atau santai?
Pemilihan lokasi juga bergantung kepada pengalaman yang ingin dinikmati.
Bagi mereka yang mahu melihat perbarisan dengan lebih dekat, kawasan sekitar Jabatan Peguam Negara, Wisma Tani dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) antara lokasi yang boleh dipertimbangkan berdasarkan perkongsian tersebut.
Namun, bagi yang datang bersama anak kecil dan mahu suasana lebih santai, kawasan di sepanjang laluan menuju ke Masjid Putra mungkin lebih sesuai.
Menurut perkongsian itu, orang ramai juga tidak perlu memaksa diri berada di kawasan tumpuan utama kerana semakin jauh dari kawasan sesak, ruang untuk menyaksikan acara mungkin lebih selesa.
Nak tengok aset besar? Pilih lokasi dengan betul
Bagi yang ingin melihat aset dan kenderaan berat dengan lebih dekat, perkongsian itu menyarankan orang ramai memilih lokasi berhampiran laluan aset.
Namun, pengunjung perlu bersedia menghadapi cuaca panas dan kemungkinan terkena asap daripada kenderaan yang melalui kawasan berkenaan.
Sementara itu, laluan kontinjen pula dikatakan berada berhampiran kawasan Istana Kehakiman.
Aset dan kenderaan besar juga dikongsikan hanya melalui laluan tertentu sebelum bergerak ke kawasan lain.
Bagi yang mahu menyaksikan pertunjukan udara pula, orang ramai disarankan memilih kawasan lapang dan mengelakkan duduk di bawah pokok atau berhampiran bangunan tinggi yang boleh menghalang pandangan ke langit.
Senarai barang wajib bawa
Jika anda bercadang membawa anak-anak dan perlu berada di lokasi dalam tempoh yang lama, ini antara barang yang boleh disediakan:
Payung
Topi
Kipas tangan
Pelindung matahari
Cermin mata hitam
Fon kepala
Bank kuasa
Makanan untuk sarapan dan makanan ringan
Tisu basah, tisu kering dan cecair pembasmi kuman
Air minuman secukupnya
Tripod
Pelitup muka
Kerusi perkhemahan
Tikar
Baju hujan
Kasut yang selesa
Bagi keluarga yang membawa anak-anak, membawa air dan makanan secukupnya sangat membantu memandangkan tempoh menunggu mungkin mengambil masa agak lama.
Bank kuasa juga penting bagi memastikan telefon kekal boleh digunakan untuk mengambil gambar, merakam video dan berhubung dengan ahli keluarga.
Jika dapat tempat di hadapan, duduklah
Satu lagi perkara penting yang dikongsikan ialah soal bertimbang rasa.
Jika anda mendapat tempat di bahagian hadapan, duduk sekiranya keadaan dan lokasi mengizinkan.
Dengan cara itu, lebih ramai pengunjung di belakang, termasuk kanak-kanak, berpeluang menyaksikan perbarisan tanpa pandangan terhalang.
Akhir sekali, jangan sesekali meninggalkan sampah merata-rata.
Kemeriahan sambutan akan lebih bermakna apabila semua pengunjung bersama-sama menjaga kebersihan Putrajaya.

