Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Saya Bukan Lari Dari Sikamat - Aminuddin

aminuddin sikamat
Gambar: BERNAMA

Saya Bukan Lari Dari Sikamat - Aminuddin

SEREMBAN, 16 Julai (Bernama) -- Datuk Seri Aminuddin Harun menjelaskan keputusan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi ialah kehendaknya sendiri dan bukannya lari dari DUN Sikamat yang disandangnya selama empat penggal.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu berkata sepertimana yang dilakukan di Sikamat sebelum ini, beliau ingin meneruskan khidmat bakti yang sama kepada masyarakat di Linggi.

“Insya-Allah, jika diberi kepercayaan dan kemenangan oleh rakyat, saya akan bekerja dengan lebih kuat, gigih dan sebaik mungkin demi kesejahteraan seluruh penduduk DUN Linggi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Mengimbau kembali perjalanan politiknya di Sikamat, Pengerusi PKR Negeri Sembilan itu berkata penduduk Sikamat menjadi saksi susah payah beliau selama empat penggal menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.

"Dari sebuah pejabat kecil di atas kedai, dengan peruntukan yang serba terhad ketika menjadi pembangkang, kami bersama-sama berusaha mencari dana, membantu rakyat dan menganjurkan pelbagai program demi kebajikan penduduk. Semua kenangan itu tidak akan saya lupakan," katanya.

Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan turut merakamkan penghargaan kepada seluruh masyarakat Sikamat atas sokongan sepanjang khidmatnya menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berharap calon baharu, Nor Azman Mohamad yang menggantikannya di Sikamat dapat meneruskan khidmat sebaik-baiknya.

Aminuddin dijangka berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN), yang juga penyandang kerusi DUN Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli pada PRN Negeri Sembilan ke-16.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon PRN Negeri Sembilan pada Sabtu ini, diikuti pengundian awal pada 28 Julai dan 1 Ogos ialah hari pengundian.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

Sumber:BERNAMA