Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sebuah Kafeteria Dalam Hospital Swasta Diarah Tutup Kerana Kotor
GEORGE TOWN, 16 April (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang mengarahkan sebuah kafeteria di hospital swasta di sini ditutup serta-merta, selepas mendapati premis itu berada dalam keadaan kotor termasuk penemuan lipas.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang Daniel Gooi Zi Sen berkata tindakan itu diambil susulan aduan awam yang diterima pada Isnin lepas, berhubung isu kemungkinan berlaku pencemaran makanan di situ.
“JKN Pulau Pinang telah menjalankan pemeriksaan segera sejurus menerima aduan itu dan mendapati tahap kebersihan kafeteria berkenaan berada pada tahap yang tidak memuaskan dan sangat teruk.
“Jadi arahan penutupan dan kompaun telah dikeluarkan pada hari yang sama mengikut prosedur operasi standard (SOP) keselamatan makanan yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Gooi berkata pengusaha kafeteria itu diarahkan menjalankan kerja-kerja pembersihan menyeluruh sebelum dibenarkan beroperasi semula dan pihaknya akan menjalankan pemantauan berkala, bagi memastikan semua pengendali makanan mematuhi standard kebersihan yang ditetapkan demi keselamatan pengguna.
Terdahulu tular di media sosial beberapa gambar berhubung sebuah kafeteria di sebuah hospital swasta yang dilaporkan kotor dan mencetuskan kebimbangan orang ramai terhadap tahap kebersihan premis makanan, termasuk yang beroperasi di dalam fasiliti kesihatan.