Bila penyanyi luar negara menyanyikan lagu bahasa Melayu, mesti kita rasa teruja nak dengar, kan? Lebih-lebih lagi kalau sebutannya jelas dan penghayatannya sampai menusuk kalbu pendengar.
Itulah yang mencuri perhatian menerusi persembahan penyanyi Afrika Selatan, Motswedi Modiba yang membawakan lagu Lelaki Teragung, nyanyian asal Dayang Nurfaizah dalam program pertandingan nyanyian antarabangsa, Silk Way Star.

Motswedi yang mesra dikenali sebagai MOE, 29, memukau pendengar dengan persembahan penuh perasaan.
Walaupun menyanyi dalam bahasa yang berbeza, sebutan bait-bait liriknya yang jelas bukan sahaja memukau para juri antarabangsa malah seluruh rakyat Malaysia.
Nyanyian Penyanyi Afrika Selatan 'Pukau' Rakyat Malaysia
Dalam klip video di instagram rasmi milik Moe, rata-rata rakyat Malaysia memuji persembahan itu.
Lebih manis, nyanyiannya turut mendapat perhatian Dayang sendiri yang meninggalkan komen memuji persembahannya.

MOE menerusi perkongsian di Instagram menyifatkan peluang membawakan karya dari Malaysia itu sebagai satu penghormatan besar.
“Saya berasa amat berbesar hati kerana diberi peluang untuk mempersembahkan lagu Lelaki Teragung nyanyian Dayang Nurfaizah dalam episod terakhir Silk Way Star.
“Apabila kami diberitahu bahawa kami perlu menyanyikan lagu dalam bahasa lain, saya berasa sangat teruja dan ingin tahu,” katanya.
Menariknya, MOE tidak mengambil masa lama untuk ‘jatuh hati’ dengan lagu berkenaan.
Selepas meneliti beberapa pilihan lagu bersama penyanyi Malaysia, Amsyar Lee yang dipanggilnya Amir, dia sudah membuat keputusan sebaik mendengar 30 saat pertama Lelaki Teragung.
“Saya dan Amir (Amsyar Lee) meneliti beberapa buah lagu, tetapi sebaik sahaja saya mendengar lagu ini, dalam masa 30 saat pertama lagi saya sudah tahu bahawa inilah lagu yang saya mahu bawakan.
“Kami hanya mempunyai masa dua minggu untuk mempelajarinya, dan sepanjang proses itu merupakan satu pengalaman yang sangat istimewa.
“Saya mengambil masa untuk menghayati setiap lirik, memahami maksudnya, mengingati setiap bait dan benar-benar mendalami lagu ini.
“Pengalaman itu menjadikan persembahan ini lebih bermakna buat saya” kongsinya.

