Tenaga Nasional Berhad (TNB) kesal dengan insiden kekasaran terhadap seorang pembaca meter syarikat itu ketika menjalankan tugas rasmi di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Segar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pembaca meter TNB diserang dua individu
TNB dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook memaklumkan berdasarkan laporan awal, petugas berkenaan didatangi dan diserang oleh dua individu ketika berada di kawasan pangsapuri tersebut.
Insiden itu menyebabkan petugas berkenaan mengalami kecederaan dan telah mendapatkan rawatan di hospital.
Menurut TNB, laporan polis telah dibuat berhubung kejadian berkenaan dan pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
“TNB memandang serius sebarang tindakan yang boleh mengancam keselamatan warga kerja yang sedang menjalankan tugas,” kata TNB lagi.
Sehubungan itu, TNB memohon kerjasama orang ramai supaya menghormati dan memberikan kerjasama kepada petugasnya ketika menjalankan tugasan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklum balas berkaitan perkhidmatan TNB boleh menyalurkannya melalui saluran rasmi syarikat.

